
SIBU – Pendedahan kepada kemahiran praktikal terus menjadi antara pendekatan Tabung Baitulmal Sarawak (TBS) dalam memperkasa potensi masyarakat, khususnya menerusi latihan yang berupaya membuka peluang menjana pendapatan sendiri.
Usaha itu diterjemahkan menerusi Kursus Kemahiran Asas Pembuatan Kek dan Dekorasi Kek Hari Jadi di bawah Akademi Latihan Insan (A.L.I.), yang menghimpunkan 50 peserta sempena Program Ziarah Mahabbah Zon Tengah I di Kompleks Islam Sarawak pada Sabtu.
Pemangku Pengurus Besar Tabung Baitulmal Sarawak (TBS), Iskandar Allan berkata, kemahiran yang diperoleh menerusi kursus berkenaan diharap dapat dimanfaatkan peserta sebagai sumber pendapatan tambahan selain menjadi asas untuk menceburi bidang keusahawanan pada masa hadapan.
“Kemahiran yang diperolehi ini diharap dapat dimanfaatkan sebagai salah satu sumber menjana pendapatan serta membuka peluang kepada peserta untuk menceburi bidang keusahawanan pada masa hadapan,” katanya.
Iskandar, Program selama dua hari itu turut menyediakan pelbagai pengisian berkaitan pendidikan, pembangunan kemahiran dan kebajikan, termasuk Pameran Edu Fair yang melibatkan 30 agensi kerajaan serta badan berkanun, Program Khas Wanita, aktiviti STEM dan sukaneka.
Dalam masa sama, katanya, seramai 50 penerima Bantuan Sara Hidup di Sibu menerima Bantuan Kasih Kenyalang sebagai sebahagian daripada usaha menyantuni golongan yang memerlukan.
Iskandar yang juga penyelaras bersama program berkenaan dengan Biro Perkhidmatan Pendidikan MIS, memaklumkan bahawa program itu turut memberi ruang kepada masyarakat mendapatkan maklumat berkaitan perkhidmatan pendidikan dan kebajikan.
Kemuncak program pada 18 Oktober ialah Sesi Townhall Pendidikan yang menampilkan tiga panel daripada Biro Perkhidmatan Pendidikan, TBS dan Yayasan Wakaf Sarawak bagi berkongsi maklumat mengenai perkhidmatan yang disediakan oleh agensi berkenaan di bawah MIS.
Sehingga 31 Ogos 2026, TBS telah mengagihkan RM100.3 juta kepada asnaf yang layak di seluruh Sarawak menerusi empat program utama meliputi pendidikan, kebajikan, pembangunan institusi Islam dan peningkatan kemahiran ummah.





