
KANGAR – Pendakwah, Ahmad Husam Muhamad Baderudin atau lebih dikenali sebagai Ustaz Husam diperintah membela diri oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menerima gelaran dan kehormatan tidak diiktiraf pada 2023.
Hakim Sharifah Norazlita Syed Salim Idid membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh berusia 36 tahun berkenaan pada akhir kes pendakwaan.
Mahkamah kemudian memberikan tiga pilihan kepada Ahmad Husam sama ada memberikan keterangan bersumpah di kandang saksi dan boleh disoal balas pihak pendakwaan, memberikan keterangan tidak bersumpah tanpa disoal balas atau memilih untuk berdiam diri.
Ahmad Husam memilih untuk memberikan keterangan secara bersumpah di kandang saksi bagi membela dirinya terhadap pertuduhan tersebut.
Peguam bela tertuduh, Datuk N. Sivananthan turut memaklumkan kepada mahkamah bahawa pihak pembelaan akan memanggil empat saksi bagi memberikan keterangan sepanjang prosiding pembelaan.
Mahkamah seterusnya menetapkan 17 dan 18 Disember depan bagi prosiding membela diri.
Pada 26 September 2024, Ahmad Husam mengaku tidak bersalah dan meminta dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan hakim sama.
Mengikut pertuduhan, Ahmad Husam didakwa menerima gelaran dan kehormatan tidak diiktiraf daripada Yang Dipertua Negeri Melaka di Pejabat Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK), Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perlis di sini kira-kira pukul 11.30 pagi pada 4 Mei 2023.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 4A(3) Enakmen Lambang-Lambang dan Nama-Nama (Mencegah Penggunaan Tidak Betul) (Pindaan) 2016 (Enakmen A21) yang dibaca bersama Seksyen 17 Akta Kesalahan yang Berhubungan dengan Anugerah 2017 (Akta 787).
Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan denda antara RM250,000 hingga RM500,000 atau penjara antara satu hingga lima tahun atau kedua-duanya sekali mengikut Seksyen 4A(6) enakmen berkenaan.
Prosiding pendakwaan dikendalikan Pengarah Pendakwaan Negeri Perlis, Mohd Izham Ali manakala Ahmad Husam diwakili Sivananthan.



