KUALA PILAH – Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir menzahirkan kemurkaannya terhadap Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim berhubung krisis institusi diraja yang berlarutan di negeri itu.
Menerusi video yang tular di media sosial, Tuanku Muhriz enggan menerima menghadap Ismail yang dipercayai mahu menghadap baginda selepas solat Jumaat di sebuah masjid di sini, pada Jumaat.
“Ismail Lasim telah tulis surat kepada Penyimpan Mohor Besar (Raja-Raja) baru-baru ini, mengatakan keputusan yang dia buat dengan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) itu adalah sah dan saya bukan lagi yang Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.
“Lepas tu datang hari ini nak jumpa saya buat apa? Selagi dia tak tarik balik apa yang dia kata itu, jangan datang jumpa saya.
“Go away, I don’t want to see you. Okay? Awak faham? Saya Yang di-Pertuan Besar dan awak kata saya bukan,” titah Tuanku Muhriz.
Ismail yang berbaju Melayu warna hijau berada di hadapan baginda dilihat hanya mengangkat sembah ketika ditegur secara terbuka itu.
Selepas insiden berkenaan, kedengaran jemaah masjid melaungkan ‘Daulat Tuanku’ sebagai tanda sokongan kepada baginda.
Krisis institusi diraja Negeri Sembilan mula memuncak susulan kemunculan Proklamasi 19 April yang memecat Tuanku Muhriz dan mengiktiraf Tuanku Nadzaruddin Tuanku Ja’afar sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan yang baharu.
Bagaimanapun keabsahan proklamasi tersebut ditolak mentah-mentah oleh Dewan Keadilan dan Undang (DKU) pada 31 Julai dan 13 September, yang memutuskan bahawa Tuanku Muhriz kekal sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan yang sah.
Bagaimanapun, pada 15 September, Mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri yang dipengerusikannya didakwa memutuskan secara sebulat suara bahawa proklamasi berkenaan sah dan berkuat kuasa, sebelum Ismail mengesahkan keputusan itu kepada media pada 17 September.
Pertikaian itu bertambah rumit apabila peguam Tuanku Muhriz menyifatkan tindakan Exco negeri sebagai cubaan “coup d’état” dan menghina mahkamah, manakala Undang Luak Rembau Datuk Sedia Raja Hassan Ab Hamid menegaskan pentadbiran negeri tidak mempunyai kuasa mengatasi Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan (UUTKNS) 1959.
Berikutan itu, Tuanku Muhriz membatalkan pelantikan 10 Exco Negeri Sembilan yang berkuat kuasa pada 20 September dan pembatalan itu diwartakan pada 24 September.
Namun, lebih mengundang persoalan, Ismail pada 21 September mempertikaikan keputusan Tuanku Muhriz membatalkan pelantikan 10 anggota Exco negeri dengan alasan tindakan itu bercanggah dengan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959.
Alasan yang digunakan Ismail adalah hanya kerana beliau tidak dirujuk atau menasihati pembatalan berkenaan, malah menegaskan barisan Exco sedia ada masih sah dan boleh meneruskan tugas.
Perkembangan itu memperlihatkan Ismail terbukti flip flop apabila terdapat percanggahan antara pendirian awal Ismail yang menyatakan sokongan penuh kepada Tuanku Muhriz dengan pengesahan keputusan Exco berkaitan proklamasi penurunan takhta baginda, sebelum beliau kemudian mempertikaikan tindakan pembatalan pelantikan Exco oleh Tuanku Muhriz atas alasan perlembagaan.




