
KUCHING – Dua projek infrastruktur bekalan air bernilai keseluruhan RM425 juta disasarkan dapat memastikan seluruh penduduk di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Krian menikmati bekalan air bersih menjelang 2028.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Krian, Friday Belik berkata, projek berkenaan melibatkan pembinaan sistem bekalan air baharu di Daerah Saratok serta menaik taraf Loji Rawatan Air Kaki Wong di Bahagian Betong.
Menurutnya, projek sistem bekalan air Saratok bernilai RM185 juta merangkumi kawasan Ulu Sebetan, Brayang, Mudong, Tapang Ujan dan Kop Ibus.
Sementara itu, sebanyak RM240 juta diperuntukkan bagi menaik taraf Loji Rawatan Air Kaki Wong untuk meningkatkan kapasiti rawatan air daripada 30 juta liter sehari (MLD) kepada 60 MLD.
“Dengan siapnya projek ini nanti, seluruh kawasan DUN Krian akan mendapat bekalan air bersih daripada JBALB menjelang 2028,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan (2027), 2026 pada Persidangan DUN Sarawak Ke-19 pada Jumaat.
Menurut Friday, pelaksanaan projek berkenaan penting bagi memastikan penduduk luar bandar menikmati kemudahan asas yang lebih baik, khususnya bekalan air bersih yang disediakan oleh Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB).
Dalam perkembangan berkaitan, beliau turut menggesa supaya perhatian diberikan kepada kawasan di Krian yang masih mengalami masalah liputan telekomunikasi dan internet.
Sehubungan itu, beliau berharap peruntukan RM309 juta menerusi pembiayaan alternatif dalam Belanjawan Sarawak 2027 bagi pembinaan lebih banyak menara telekomunikasi turut memberi manfaat kepada penduduk di kawasan berkenaan.
Friday turut menyambut baik komitmen kerajaan negeri dalam memperkukuh pembangunan luar bandar melalui penyediaan infrastruktur asas dan kemudahan awam.
Beliau juga melihat sektor pertanian moden dan pelancongan berpotensi merancakkan ekonomi tempatan, khususnya dalam mewujudkan peluang pekerjaan serta meningkatkan pendapatan penduduk.
Katanya, pelaksanaan berterusan inisiatif pembangunan berkenaan diharap dapat merangsang pertumbuhan ekonomi Krian, sekali gus menyokong agenda pembangunan Betong secara keseluruhan.
Foto: Jabatan Penerangan Sarawak







