
JOHOR BAHRU – Parti Keadilan Rakyat (PKR) mengesahkan akan bertanding sembilan kerusi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, 14 November depan.
Setiausaha Agung PKR, Datuk Dr Fuziah Salleh berkata, senarai calon parti itu akan diumumkan Presiden PKR merangkap Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim, pada Majlis Pengumuman Calon dan Pelancaran Jentera PH bagi PRN Melaka di tapak parkir Stadium Hang Jebat, Melaka, pada 24 Oktober ini, jam 8 malam.
“Calon kita lebih kurang sudah dimuktamadkan, insya-Allah. Setakat ini, kita akan bertanding di sembilan kerusi dan PH tentunya akan bertanding lebih banyak kerusi.
“Perkara paling penting bagi kita di Melaka adalah memastikan persiapan sudah dilakukan dan kita akan memberikan saingan yang sangat baik, insya-Allah,” katanya, seperti dilapor Berita Harian.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Perasmian Jelajah Pameran Francais Antarabangsa Zon Selatan, di sini hari ini.
Mengulas kemungkinan kerjasama dengan pihak lain, termasuk pihak yang menyatakan hasrat untuk bekerjasama dengan PH Plus atau PH sahaja, Fuziah berkata, setakat ini tiada sebarang persefahaman rasmi dimeterai.
Bagaimanapun, beliau berkata, PKR mengalu-alukan sebarang bentuk bantuan daripada pihak lain yang mahu membantu parti itu dalam menghadapi pilihan raya berkenaan.
“Setakat ini, tiada persefahaman rasmi. Tetapi kalau ada pihak yang mahu membantu, kita amat mengalu-alukan,” katanya.
Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 14 November depan sebagai hari mengundi bagi PRN Melaka ke-16, manakala 31 Oktober sebagai hari penamaan calon.
DUN Melaka mempunyai 28 kerusi dan pada PRN lalu Barisan Nasional memenangi 21 kerusi, PH dengan lima kerusi dan Perikatan Nasional dua kerusi.







