
MIRI -Negara anggota ASEAN perlu memperkukuh kerjasama dan perkongsian kepakaran bagi meningkatkan kesiapsiagaan menghadapi kecemasan kesihatan awam, bencana alam serta cabaran akibat perubahan iklim.
Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Hanifah Hajar Taib berkata, kerjasama serantau penting bagi memastikan negara anggota dapat berkongsi pengalaman, prosedur operasi standard (SOP) dan pendekatan terbaik dalam menangani sesuatu krisis.
Bagaimanapun, beliau berkata, setiap negara perlu menyesuaikan pendekatan tersebut mengikut keadaan tempatan, khususnya dari segi iklim, geografi dan kemudahan infrastruktur.
Menurutnya, perbezaan keadaan cuaca serta persekitaran memerlukan kaedah pengurusan kecemasan yang bersesuaian bagi memastikan tindakan dapat dilaksanakan dengan berkesan.
Hanifah yang juga Ahli Parlimen Mukah berkata, pengalaman menghadapi pandemik COVID-19 membuktikan kepentingan persediaan awal, perkongsian pengetahuan dan penyampaian maklumat yang jelas kepada masyarakat.
Katanya, orang ramai perlu memahami langkah keselamatan dan prosedur yang perlu dipatuhi bagi mengurangkan risiko ketika berdepan situasi kecemasan.
Beliau turut menekankan keperluan menambah baik prosedur pengurusan bencana, termasuk kesiapsiagaan menghadapi musim kemarau serta penyakit zoonotik yang boleh merebak antara haiwan dengan manusia.
Menurutnya, perkongsian pengalaman antara negara membolehkan agensi berkaitan mengenal pasti pendekatan yang berkesan, mempelajari kelemahan daripada kejadian terdahulu dan membangunkan penyelesaian secara bersama.
Kerjasama berterusan itu juga penting bagi memastikan sistem tindak balas kecemasan sentiasa bersedia menghadapi ancaman baharu yang berpotensi memberikan kesan merentasi sempadan.
Dalam perkembangan lain, Hanifah turut mengulas usaha memastikan kesinambungan perkhidmatan kesihatan di kawasan pedalaman Sarawak susulan penangguhan sementara operasi Perkhidmatan Doktor Udara (FDS).
Beliau berkata, perbincangan telah diadakan bersama agensi dan kementerian berkaitan bagi meneliti pilihan penyampaian perkhidmatan kesihatan kepada komuniti yang sukar diakses melalui jalan darat.
Menurutnya, perkara berkenaan turut dibawa ke peringkat Kabinet untuk pertimbangan lanjut, namun tarikh penyambungan semula operasi FDS secara menyeluruh masih belum dapat dipastikan.
Sementara itu, perkhidmatan pemindahan perubatan kecemasan atau Medevac masih diteruskan menerusi kerjasama dengan agensi kerajaan yang mempunyai aset pengangkutan udara.
Antara agensi yang terlibat dalam penyediaan sokongan penerbangan ialah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).
Perkhidmatan kesihatan melalui jalan darat dan sungai turut digunakan di lokasi yang boleh diakses, tertakluk kepada keadaan serta penilaian keselamatan.
Hanifah berkata, keadaan geografi Sarawak yang luas dan mencabar menjadikan pengangkutan udara penting bagi membantu masyarakat di kawasan pedalaman, khususnya apabila berlaku kecemasan perubatan.
Beliau berharap kerjasama antara agensi dapat terus diperkukuh bagi memastikan penduduk di kawasan terpencil tidak terputus akses kepada perkhidmatan kesihatan.





