
SHAH ALAM – Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) mengesahkan penahanan dua individu bagi membantu siasatan kes khalwat membabitkan seorang figura awam di daerah Petaling, pada Khamis.
Pengarah JAIS, Datuk Mohd Shahzihan Ahmad berkata, kedua-dua individu itu ditahan kira-kira pukul 6 petang bagi membantu siasatan berhubung kesalahan yang disyaki dilakukan mengikut Seksyen 29 Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995.
Menurutnya, jika sabit kesalahan, individu terbabit boleh dikenakan denda tidak melebihi RM3,000 atau penjara maksimum dua tahun atau kedua-duanya sekali.
Dalam pada itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak menjadikan kes berkenaan sebagai bahan spekulasi sehingga mengaibkan individu terbabit.
“JAIS menasihatkan umat Islam agar tidak mengaibkan mana-mana individu dengan menjadikannya bahan spekulasi, perdebatan dan fitnah dalam apa juga cara,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Terdahulu, tular di media sosial satu hantaran memaparkan tangkap layar rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang menunjukkan sebuah van milik JAIS berada di kawasan tempat letak kereta sebuah premis.
Hantaran itu mencetuskan pelbagai spekulasi dan sindiran dalam talian sebelum JAIS mengesahkan penahanan dua individu berkaitan kes khalwat berkenaan.
Bagaimanapun, JAIS tidak mendedahkan identiti individu yang ditahan dalam kenyataan itu.






