
KUALA LANGAT – Penggunaan kecerdasan buatan (AI) disifatkan sebagai peluang besar kepada Jabatan Komunikasi Komuniti (JKOM) untuk meningkatkan produktiviti dan mempercepatkan penghasilan kandungan kreatif bagi memperkukuh penyampaian maklumat kepada rakyat.
Ketua Pengarah JKOM, Mohd Hisyamuddin Ghazali berkata, teknologi itu boleh dimanfaatkan untuk membantu pegawai menjana idea, menghasilkan visual, menyediakan skrip serta menyunting kandungan, sekali gus meningkatkan kecekapan penghasilan bahan komunikasi.
Bagaimanapun, beliau menegaskan, AI hanya berperanan sebagai alat bantu dan tidak seharusnya menggantikan pertimbangan manusia, terutama dalam aspek kreativiti, sensitiviti, pemahaman konteks serta etika.
“Gunakanlah AI untuk membantu menjana idea, menghasilkan visual, menyediakan skrip dan menyunting kandungan, tetapi kreativiti, sensitiviti, pemahaman konteks serta pertimbangan etika hendaklah kekal menjadi kekuatan utama warga JKOM.
“Kita perlu beralih daripada sekadar mengejar jumlah penerbitan kepada menghasilkan kandungan yang mampu dilihat, dikongsi, menjadi bualan dan akhirnya memberi impak kepada masyarakat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada kursus Mobile Journalism (MOJO) MADANI My Community News (MCN) di Perbadanan Perpuskataan Awam Kuala Langat, pada Khamis.
Mohd Hisyamuddin berkata, pemanfaatan teknologi itu perlu seiring dengan usaha menghasilkan kandungan yang bukan sahaja menarik perhatian, malah mampu dikongsi dan menjadi perbualan masyarakat bagi memperluas penyebaran naratif kerajaan secara lebih berkesan.

Menurut beliau, warga JKOM perlu beralih daripada sekadar mengejar jumlah penerbitan kepada menghasilkan kandungan yang mampu menarik perhatian, mendorong perkongsian dan memberi impak kepada masyarakat.
“Apabila kandungan kita berjaya mendapat perhatian, dikongsi dan dibincangkan oleh masyarakat, kita bukan sahaja meningkatkan prestasi media sosial, tetapi turut memperluaskan penyebaran naratif kerajaan secara lebih meluas, berkesan dan berimpak.
“Dalam menangani isu politik dan semasa, saya mahu kita memberi perhatian serius pada teknik membina naratif dan penulisan kapsyen. Setiap isu perlu dilihat dari sudut tepat, dengan fakta dan konteks jelas, supaya mesej yang ingin disampaikan dapat difahami dengan mudah oleh masyarakat,” katanya.
Pada masa sama, tambahnya, kapsyen dihasilkan perlu dilakukan dengan lebih kreatif, ringkas dan mempunyai elemen tarikan atau hook bagi mendorong khalayak membaca, berkongsi serta berinteraksi dengan kandungan berkenaan.
“Kita perlu memahami bahawa kekuatan sesuatu kandungan bukan hanya terletak pada visualnya, tetapi juga pada kekuatan naratif dibina. Naratif yang baik akan menjadikan sesuatu isu lebih mudah difahami, lebih dekat dengan khalayak dan seterusnya membantu memastikan mesej yang ingin kita sampaikan dapat tersebar dengan lebih meluas dan berimpak,” katanya.
Sementara itu, Mohd Hisyamuddin berkata, kehadiran telefon pintar yang dilengkapi kamera berkemampuan tinggi turut memberi peluang kepada JKOM dalam memperluas penghasilan kandungan kreatif merentas pelbagai platform digital.
Menurut beliau, kemudahan itu membolehkan agensi kerajaan terbabit merakam, menyunting dan menghasilkan foto, video serta grafik untuk dimuat naik dengan segera ke media sosial bagi menyampaikan maklumat kepada rakyat.
“Kehadiran smartphone dengan kemampuan kamera yang semakin canggih telah memberikan peluang besar kepada kita semua untuk membangunkan dan menghasilkan kandungan kreatif yang merentas platform serta inovasi digital.
“Salah satu yang menjadi trend kini adalah Mobile Journalisme (MOJO) yang telah mengubah landskap kewartawanan moden dengan memanfaatkan potensi besar dalam penyampaian maklumat atau berita yang cepat, lebih dekat, melepasi halangan, mampu dikawal.
“Pada masa sama, ia juga mampu disebar luas dengan segera selain membantu membuat liputan secara langsung dan real-time dari pelbagai pelusuk lokasi tanpa perlu peralatan berat yang rumit,” katanya.







