MANCHESTER City berusaha meneruskan permulaan sempurna dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) meskipun masa depan mereka dibayangi ketidaktentuan, manakala Manchester United akan bertandang ke gelanggang seteru tradisi, Leeds United Ahad ini ketika tekanan terhadap pengurus Michael Carrick semakin memuncak.
Brighton berpotensi menjadi antara pasukan paling mendapat manfaat sekiranya City dikenakan hukuman berat kerana melanggar peraturan kewangan.
The Seagulls kini berada pada kedudukan kukuh, hanya dua mata di belakang Arsenal yang menduduki tangga kedua, menjelang pertembungan penuh sengit menentang Crystal Palace.
United memulakan kempen liga dengan rekod terburuk dalam tempoh 40 tahun, sebelum kekalutan dalam pasukan bertambah susulan kritikan pertahanan Lisandro Martinez terhadap kepimpinan kelab berhubung kekurangan pelaburan dalam skuad selepas kekalahan 2-0 kepada Atletico Madrid pada Selasa lalu.
Pemain Argentina itu mensasarkan pengarah teknikal, Jason Wilcox selepas The Red Devils hanya membawa masuk tiga pemain tengah sepanjang jendela perpindahan.
Bagaimanapun, Martinez sendiri antara pemain yang turut dipersalahkan atas permulaan hambar musim ini susulan peranannya dalam gol yang dibolosi ketika menentang Fulham dan Tottenham dalam beberapa minggu kebelakangan ini.
United hanya memenangi satu daripada enam perlawanan liga pertama mereka, selain tersingkir daripada saingan Piala Liga kepada Brighton bulan lalu.
Kali terakhir Leeds menewaskan The Red Devils di Elland Road ialah pada tahun 2002, namun mereka pernah menghadiahkan satu-satunya kekalahan di laman sendiri kepada Carrick ketika dia menjadi pengurus interim musim lalu, apabila kedua-dua pasukan bertemu pada April.
Carrick kini semakin berisiko menjadi pengurus terbaharu yang gagal memulihkan kemerosotan ketara United sejak persaraan Alex Ferguson pada tahun 2013.
Namun, dia berkata suasana bermusuhan yang bakal menanti pasukannya menjadi peluang terbaik untuk bangkit.








