
KEPAKARAN dan penguasaan mendalam bekas Mufti Besar Mesir, Profesor Dr Ali Jumaah dalam bidang turath mampu memberi manfaat kepada pembangunan ilmu Islam di Malaysia, kata Mufti Wilayah Persekutuan, Ahmad Fauwaz Fadzil.
Pandangan itu dikemukakan susulan gesaan Datuk Seri Saifuddin Abdullah supaya Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak melantik Ali Jumaah menganggotai Majlis Penasihat Pondok dan Turath yang dicadangkan kerajaan.
“Peribadi saya, tidak salah kerajaan Malaysia memilih Dr Ali Jumaah sebagai penasihat turath atas kepakaran beliau dalam turath.
“Saya yang berpengalaman dalam turath hampir 25 tahun belajar dan mengkaji turath mendapati penguasaan Sheikh Ali Jumaah yang mendalam terhadap turath sangat memberi manfaat kepada pembangunan turath di Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan.
Mengulas mengenai isu politik Mesir dan dakwaan bahawa Ali Jumaah membantu kezaliman, Ahmad Fauwaz berpandangan perkara itu perlu dilihat dalam konteks politik negara berkenaan.
“Tidak ada orang yang sempurna dan ambillah yang terbaik daripada tokoh kita walaupun kita tidak bersetuju dengannya.
“Inilah yang dikatakan hikmah dan kebijaksanaan,” katanya.
Ahmad Fauwaz menegaskan pandangan itu dibuat berdasarkan pengalaman serta penglibatannya dalam pembelajaran dan pengkajian turath.
Beliau turut mengucapkan tahniah kepada kerajaan Malaysia, sambil berharap kepakaran Ali Jumaah dapat dimanfaatkan bagi pembangunan ilmu turath di negara ini.







