
BINTULU – Gerakan koperasi perlu lebih peka terhadap perubahan keperluan masyarakat dan perkembangan pasaran semasa bagi mengenal pasti peluang perniagaan baharu yang mampu meningkatkan daya saing serta pendapatan anggota.

Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan Modal Insan) Institut Koperasi Malaysia (IKMa), Mohd Zaib Mat Yunus berkata, peluang perniagaan tidak semestinya bergantung kepada pasaran berskala besar, sebaliknya ia boleh bermula dengan memenuhi keperluan komuniti setempat.
Menurutnya, perubahan demografi, corak pekerjaan dan gaya hidup masyarakat masa kini telah membuka ruang yang luas kepada entiti koperasi untuk meneroka sektor perkhidmatan yang mempunyai permintaan tinggi tetapi masih belum dipenuhi sepenuhnya.
Jelas beliau, antara bidang berpotensi besar yang boleh diterokai termasuklah sektor penjagaan warga emas, perkhidmatan penghantaran makanan, perkhidmatan komuniti, pelancongan, logistik dan perkhidmatan sokongan digital.
“Peluang bukan bermula daripada apa yang kita mahu jual. Peluang bermula apabila kita memahami apa yang orang mahu,” katanya ketika berucap pada Program Bicara Ilmu bertemakan ’Peluang Dekat, Pasaran Nyata: Lihat Perubahan, Kenal Keperluan, Temui Peluang’ di Hotel Promenade, pada Khamis.
Mohd Zaib berkata, pengurusan koperasi perlu benar-benar memahami perubahan keperluan anggota serta masyarakat sekeliling sebelum membuat keputusan untuk memperkenalkan sesuatu produk atau perkhidmatan baharu.
Sebagai rekod, berdasarkan Statistik Gerakan Koperasi 2025, sebanyak 16,468 koperasi telah direkodkan beroperasi di seluruh negara dengan jumlah keanggotaan melebihi 7.33 juta orang.
Gerakan koperasi negara turut mencatatkan pemilikan aset bernilai RM186.75 bilion dan perolehan RM81.62 bilion, meningkat kira-kira 19.7 peratus berbanding tahun sebelumnya.
Bagi peringkat Sarawak pula, sebanyak 1,212 koperasi dengan keanggotaan lebih 323,000 orang telah merekodkan perolehan sekitar RM486.93 juta pada tahun 2025, yang menunjukkan peningkatan mantap kira-kira 18 peratus berbanding tahun 2024.
Perkembangan positif itu membuktikan potensi besar gerakan koperasi untuk memperluaskan kegiatan ekonomi melalui sistem pengurusan yang berkesan, pembangunan modal insan, serta penerokaan peluang perniagaan yang tepat dan bersesuaian dengan keperluan pasaran.






