
SEREMBAN – Undang Yang Empat, termasuk tiga yang dipertikaikan, bersama Tunku Besar Tampin menyambut baik sebarang ruang perundingan dengan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir berhubung urusan penurunan takhta baginda.
Dalam satu kenyataan pada Khamis, mereka berkata rundingan itu penting bagi memastikan proses berkenaan diselesaikan secara baik, berlandaskan semangat kekeluargaan tanpa merendahkan atau menghina mana-mana pihak.
Mereka berkata, pendirian itu selaras dengan titah Raja-Raja Melayu menerusi kenyataan media Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja pada 14 Oktober yang menyeru semua pihak dalam pertikaian berkenaan supaya mengutamakan kebijaksanaan, kesabaran serta menghormati adab, adat dan maruah institusi diraja.
“Kami juga menyahut titah Raja-Raja Melayu agar ruang perundingan dimanfaatkan dengan penuh keikhlasan,” menurut kenyataan itu.
Mereka menegaskan semua pihak wajib menghormati titah berkenaan tanpa pengecualian, selain menggesa pihak luar supaya tidak mencampuri urusan atau mempolitikkan krisis takhta itu.

Menurut mereka, seruan berkenaan selaras dengan Perkara 7(1) Perlembagaan Persekutuan yang menetapkan bahawa pertikaian mengenai hak menaiki takhta sesebuah negeri hendaklah diputuskan oleh pihak berkuasa berkenaan mengikut kaedah yang ditetapkan dalam perlembagaan negeri itu.
Bagi Negeri Sembilan, mereka mendakwa pihak berkuasa berkenaan ialah Undang Yang Empat berdasarkan Perkara 10 dan 11 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan (UUTKNS).
Sehubungan itu, mereka menegaskan kerajaan Persekutuan, jabatan dan agensinya tidak mempunyai bidang kuasa dalam perkara berkenaan.
“Semua pihak hendaklah menghormati kedaulatan perlembagaan negeri,” menurut kenyataan itu.
Mereka turut mengingatkan bahawa Menteri Besar dan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) merupakan pihak berautoriti yang perlu memenuhi tanggungjawab dan amanah dalam menangani krisis berkenaan.
Justeru, mereka menggesa Setiausaha Kerajaan Negeri dan Penasihat Undang-Undang Negeri supaya mematuhi arahan Menteri Besar serta melaksanakan keputusan MMKN berkaitan proklamasi di bawah Perkara 10 UUTKNS tanpa berlengah.
“Kepatuhan sedemikian ialah cara menjunjung titah seruan agar urusan ini diselesaikan melalui saluran yang sah, tertib dan berwibawa,” menurut kenyataan itu.

Berhubung proklamasi yang menjadi asas pendirian mereka, kenyataan itu menyebut dokumen berkenaan telah ditandatangani dan dimeteraikan oleh mereka sebelum disempurnakan dengan tandatangan Menteri Besar pada 3 Ogos 2026.
Menurut mereka, MMKN menerusi Keputusan Bil. 6 Tahun 2026 bertarikh 15 September menerima proklamasi itu sebagai sempurna menurut Perkara 10(2) UUTKNS, selain mengarahkan pentadbiran negeri melaksanakannya serta-merta.
Mereka turut menegaskan bahawa peruntukan berkenaan tidak mensyaratkan proklamasi itu diwartakan.
Dalam pada itu, mereka berpandangan krisis takhta berkenaan tidak seharusnya berpanjangan sehingga menjejaskan perjalanan kuasa pentadbiran negeri serta kesejahteraan rakyat yang telah memberikan mandat kepada wakil rakyat pilihan mereka.
“Mana-mana pihak tidak boleh sewenang-wenangnya menambah syarat pewartaan atau prasyarat lain yang tidak terkandung dalam teks UUTKNS dan pandangan Jabatan Peguam Negara tidak boleh bercanggah dengan peruntukan UUTKNS,” menurut kenyataan tersebut.
Mereka turut menyeru seluruh rakyat Negeri Sembilan, khususnya anak-anak buah, buapak dan Lembaga, supaya bertenang serta menjaga tutur kata ketika krisis berkenaan masih berlangsung.
Rakyat juga diminta supaya tidak menyebarkan khabar yang belum disahkan dan tidak mudah terpengaruh dengan naratif yang boleh memecahbelahkan masyarakat.
Mereka menegaskan semua pihak perlu menghormati kedaulatan perlembagaan negeri serta memastikan sebarang penyelesaian terhadap pertikaian itu dibuat melalui saluran yang sah dan tertib.





