KUALA LUMPUR – Kerajaan telah melakukan segala usaha sebaik mungkin menerusi rundingan dengan Indonesia bagi menangani isu jerebu rentas sempadan yang semakin membimbangkan ketika ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan sudah berusaha sedaya upaya untuk menangani isu berkenaan.
“Kita dah buat sedaya mungkin,” katanya ringkas kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Pelancaran Projek Residensi Siswa Universiti Malaya (UM) di sini pada Khamis.
Kenyataan itu sekali gus menepis dakwaan bahawa kerajaan tidak cukup aktif dalam menangani isu jerebu rentas sempadan.

Semalam, bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin menyifatkan Malaysia sebagai ‘terlalu lembut’ dalam berurusan dengan Indonesia berhubung isu berkenaan.
Beliau turut menggesa kerajaan mengambil pendirian lebih tegas bagi memastikan masalah jerebu rentas sempadan dapat ditangani dengan lebih berkesan.
Bagaimanapun, menerusi episod terbaharu audio siar Keluar Sekejap, Khairy mengakui pendekatan diplomasi masih diperlukan Malaysia bagi memastikan isu itu dapat diselesaikan.






