
KUALA LUMPUR – Keputusan kerajaan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim melepaskan kuasa eksekutif terhadap pentadbiran Parlimen disifatkan sebagai pencapaian penting dalam usaha memperkukuh kebebasan institusi itu.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, langkah berkenaan membolehkan Parlimen menguruskan hal ehwalnya secara bebas selepas lebih tiga dekad berada di bawah pentadbiran eksekutif.
Beliau berkata, kerajaan hari ini wajar diberikan penghargaan kerana bersetuju melepaskan kuasa berkenaan bagi merealisasikan autonomi Parlimen yang dipersetujui tahun lalu.
“Berapa banyak Ketua Majlis Parlimen daripada kedua-dua pihak, sini dan sana? Berapa banyak Perdana Menteri? Inilah Perdana Menteri (Anwar) yang melepaskan kuasa mengawal Parlimen, (ibarat) bercerai talak tiga.
“Jadi saya rasa semua kita patut berterima kasih kepada kerajaan hari ini, iaitu frontbench kerana bersetuju untuk melepaskan (kuasa) atas pembebasan yang telah kita setuju tahun lepas,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas Sesi Penerangan berkaitan Akta Perkhidmatan Parlimen 2025 dan Majlis Perkhidmatan Parlimen (MPP) di Dewan Rakyat, pada Khamis.
Kenyataan itu dibuat sebagai respons terhadap celahan Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim, yang mencadangkan supaya urusan peruntukan kepada Ahli Parlimen dikendalikan sendiri oleh Parlimen menerusi MPP.

Sementara itu, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin (PN-Larut) turut merakamkan penghargaan kepada kerajaan atas langkah berkenaan.
Bagaimanapun, beliau berharap prinsip keadilan diterapkan dalam semua urusan Dewan Rakyat, termasuk perkara yang melibatkan kepentingan Ahli Parlimen pembangkang.
Hamzah berkata, sebarang isu berbangkit berkaitan pentadbiran Parlimen wajar dibincangkan terlebih dahulu oleh wakil yang dilantik sebelum sesuatu keputusan dibuat.
Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul pula berkata, pemulihan autonomi Parlimen selepas 33 tahun berada di bawah pentadbiran eksekutif perlu dimanfaatkan sebaik-baiknya bagi memastikan kebebasan institusi itu terus terpelihara.
Beliau berkata, pelantikan dua wakil kerajaan dan dua wakil pembangkang dalam MPP membolehkan kedua-dua pihak memainkan peranan dalam perbincangan berkaitan urusan pentadbiran Parlimen.
“Saya berharap kita sepatutnya bersyukur dan berterima kasih, kerana setelah 33 tahun Parlimen berada di bawah eksekutif, sekarang kita faham betapa pentingnya bahawa Parlimen harus bebas dan merdeka.
“Maka kita telah bebas. Hari ini kita mesti memastikan bahawa kebebasan kita tidak tercalar,” katanya sebelum memulakan sesi perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2027.
Pada Selasa, Jawatankuasa Pemilih mencadangkan Ramkarpal Singh (PH-Bukit Gelugor) dan Datuk Seri Hasni Mohammad (BN-Simpang Renggam) sebagai wakil kerajaan dalam MPP.
Sementara itu, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee (PN-Beluran) dan Datuk Seri Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bharu) dicadangkan sebagai wakil pembangkang.
Pelantikan keempat-empat Ahli Dewan Rakyat itu mendapat persetujuan Dewan Rakyat semalam menerusi usul yang dibentangkan Anwar selaku Ketua Majlis.





