
KUALA LUMPUR – Cadangan pindaan Perlembagaan Persekutuan berkaitan pengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri serta pengasingan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya antara perkara dibincangkan dalam Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-273 di Istana Negara, di sini.
Menurut kenyataan Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, mesyuarat yang berlangsung pada 14 dan 15 Oktober itu turut membincangkan pelantikan hakim Mahkamah Khas serta cadangan pindaan Seksyen 97 Akta Kanak-Kanak 2001.
Mesyuarat pada hari pertama dipengerusikan Sultan Perak Darul Ridzuan dan dihadiri semua Raja-Raja Melayu serta Yang di-Pertua Negeri.
Turut berangkat ialah Pemangku Raja Terengganu, Tengku Muhammad Ismail ibni Al-Wathiqu Billah Sultan Mizan Zainal Abidin; Tengku Mahkota Kelantan, Tengku Muhammad Fakhry Petra, yang mewakili Sultan Kelantan; serta Tunku Temenggong Johor, Tunku Idris Iskandar Al-Haj ibni Sultan Ibrahim, yang mewakili Pemangku Sultan Johor.
Pada hari kedua, Yang di-Pertuan Agong turut berangkat menghadiri mesyuarat berkenaan dengan diiringi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Majlis turut menerima taklimat mengenai perkembangan keselamatan negara daripada Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd Khalid Ismail, serta aspek pertahanan negara daripada Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Malek Razak Sulaiman.
Taklimat mengenai ekonomi negara pula disampaikan Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir.
Selain itu, mesyuarat membincangkan kertas untuk memaklumkan Majlis Raja-Raja mengenai Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) (No. 2) 2026 berkaitan pengasingan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya.
Turut dibincangkan ialah pelantikan penyandang Kursi Institusi Raja-Raja Melayu di Universiti Teknologi MARA (UiTM) serta cadangan tarikh mesyuarat Majlis Raja-Raja bagi tahun 2027.
Dalam perkembangan berkaitan, beberapa perkara mengenai pentadbiran agama Islam dan hal ehwal di bawah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) turut dibincangkan.
Antaranya termasuk kertas sembah maklum mengenai peluasan skop pengauditan Kumpulan Wang Zakat.
Kenyataan itu dikeluarkan Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja pada 15 Oktober 2026.





