
SANDAKAN – Seorang lelaki dijatuhi hukuman penjara setahun dan denda RM50,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini, pada Khamis, selepas mengaku bersalah memiliki 120 biji telur penyu hijau spesies yang dilindungi sepenuhnya di Sabah.
Tertuduh, Jumadil Jamil, 44, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Khushairy Ibrahim.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didapati memiliki 120 biji telur penyu hijau (Chelonia mydas) pada jam 8.06 malam, 4 Julai 2025, di tempat letak kereta berhadapan sebuah restoran di Kota Kinabatangan.
Penyu hijau berkenaan merupakan spesies hidupan liar yang dilindungi sepenuhnya dan disenaraikan dalam Jadual 1, Bahagian 1, Nombor 8 Enakmen Pemeliharaan Hidupan Liar 1997.
Sehubungan itu, tertuduh didakwa mengikut Subseksyen 41(1) enakmen berkenaan dan boleh dihukum di bawah Subseksyen 41(4)(a) enakmen sama.
Jika sabit kesalahan, individu terbabit boleh dikenakan denda antara RM50,000 hingga RM250,000 serta hukuman penjara antara satu hingga lima tahun.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Jabatan Hidupan Liar (JHL), Primus Lambut, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.





