
GEORGE TOWN – Pengerus Lembaga Kemajuan Wilayah Tanah (PERDA), Datuk Ir. Shaik Hussein Mydin mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas 15 pertuduhan menerima suapan berjumlah lebih RM800,000 bagi projek pembinaan sebuah asrama, antara Jun 2025 hingga 9 Julai lalu.
Tertuduh berusia 53 tahun itu membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan itu dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Irwan Suainbon.
Mengikut kesemua pertuduhan, tertuduh didakwa menerima suapan berjumlah RM847,107.61 daripada Datuk R. Albert Suresh, pengarah syarikat ATSH Management Sdn. Bhd., sebagai upah melantik syarikat berkenaan sebagai subkontratokr kepada syarikat AISB dalam projek cadangan menyiapkan kerja-kerja terbengkalai untuk sebuah blok asrama 10 tingkat dan kemudahan-kemudahan di Institut Kemahiran Tinggi PERDA(PERDA-Tech).
Kesemua pertuduhan itu didakwa dilakukan di lokasi sama iaitu di Bank Islam, Bandar Baru Perda, antara 26 Jun 2025 hingga 9 Julai lalu.
Kesalahan tersebut didakwa mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1), dengan membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana lebih tinggi.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Nurnajihatul Idayu Mohd Azuyar dan Lim Jin Hong, manakala tertuduh diwakili tujuh peguam yang diketuai Datuk Amer Hamzah Arshad, Datuk Hasnal Rezua Merican dan Dr. Shamsher Singh Thind.
Dalam prosiding yang berlangsung selama hampir sejam itu, pihak pendakwaan menawarkan jaminan RM1 juta dengan syarat tambahan tertuduh perlu melaporkan diri di pejabat SPRM dan menyerahkan pasport bagi mengurangkan risiko melarikan diri.
Bagaimanapun, pihak pembelaan mencadangkan jaminan RM200,000 selain mempersoalkan kewajaran tertuduh menyerahkan pasport kepada mahkamah serta melaporkan diri kepada SPRM.
Hakim Irwan kemudiannya memerintahkan tertuduh membayar jaminan sebanyak RM300,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan iaitu perlu melaporkan diri ke pejabat SPRM setiap dua bulan sekali.
Antara syarat tambahan lain ialah tertuduh perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah selain dilarang menganggu saksi-saksi pendakwaan.
Kes tersebut akan disebut semula pada 8 Januari 2027.





