
KOTA KINABALU – Kelewatan Projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah Fasa 1A bukan berpunca daripada satu pihak sahaja, sebaliknya membabitkan pelbagai cabaran teknikal, pentadbiran dan kewangan, kata Ketua Merinyu Projek, Datuk Salleh Said Keruak.
Beliau berkata, lebih 70 peratus projek itu membabitkan pelebaran jalan Persekutuan sedia ada daripada dua kepada empat lorong, yang bukan mudah kerana melibatkan pengambilan tanah, bangunan, kawasan penempatan penduduk serta pemindahan utiliti.
“Antara punca utama kelewatan ialah perubahan reka bentuk asal yang tidak sepenuhnya menepati keadaan sebenar di tapak.
“Proses itu memerlukan penelitian dan penyelarasan pelbagai perunding serta pakar teknikal yang dilantik Kementerian Kerja Raya (KKR),” katanya dalam kenyataan media, pada Khamis.
Tambahnya, setiap perubahan reka bentuk boleh melibatkan pertambahan kos yang memerlukan penilaian teknikal dan kelulusan kewangan daripada KKR serta Kementerian Kewangan (MoF).
“Proses kelulusan yang panjang turut menjejaskan kelancaran projek,” kongsinya.
Sehubungan itu, bagi mengelakkan kelewatan berulang, Salleh berkata, KKR dan MoF perlu menyediakan mekanisme kelulusan yang lebih cepat dan jelas khususnya bagi Arahan Perubahan Kerja (VO) serta pelarasan had kewangan.
“Mekanisme itu wajar dimasukkan dalam kontrak asal atau dimuktamadkan melalui Perjanjian Tambahan.
“Setiap projek berkenaan membabitkan tanggungjawab bersama Kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri, perunding, kontraktor dan syarikat utiliti,” jelasnya.
Katanya, setiap pihak perlu dinilai berdasarkan bidang kuasa dan tanggungjawab masing-masing, bukannya menjadikan satu pihak sebagai sasaran kesalahan.
“Rakyat Sabah tidak memerlukan budaya saling menyalahkan. Mereka mahu melihat lebuh raya ini disiapkan.
“Apa yang diperlukan ialah kerjasama lebih erat, keputusan lebih pantas dan kelulusan yang lebih cekap.
“Keutamaan kita mesti jelas kurangkan kelewatan, percepatkan pelaksanaan dan siapkan projek demi rakyat Sabah,” ujarnya.






