
MIRI – Seorang pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Luar Bandar Bekenu maut selepas dilanggar sebuah kereta ketika melintas jalan di Kilometer 55, berhampiran sekolah berkenaan, pada Selasa.
Ketua Polis Daerah Miri, ACP Mohd Farhan Lee Abdullah berkata, kemalangan berlaku kira-kira jam 1.10 tengah hari pada 13 Oktober, membabitkan sebuah kereta dipandu wanita tempatan berusia 46 tahun.
Menurutnya, kereta itu dalam perjalanan dari arah Miri menuju ke Bakong sebelum dipercayai melanggar mangsa yang sedang melintas jalan.
Akibat pelanggaran itu, mangsa mengalami kecederaan dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pembantu perubatan dari Klinik Kesihatan Tun Abang Haji Openg, Bekenu, kira-kira jam 1.20 tengah hari.
Mohd Farhan berkata, pemandu kereta tidak mengalami sebarang kecederaan, manakala kenderaan terbabit mengalami kerosakan pada bahagian hadapan sebelah kiri.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Sehubungan itu, polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian supaya menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Mohd Faizal Moktar menerusi talian 012-818 6509 atau 085-430 479, atau mana-mana balai polis berhampiran.
Polis turut menasihatkan pengguna jalan raya supaya sentiasa memandu secara berhemah dan mematuhi peraturan lalu lintas bagi mengelakkan kejadian yang boleh membahayakan keselamatan pengguna lain.



