Syarat simpanan RM15,000 bukan bebanan, ukur kesiapsiagaan jemaah haji

PUTRAJAYA – Syarat simpanan minimum RM15,000 bagi bakal jemaah haji perlu dilihat sebagai langkah mengukur kesiapsiagaan kewangan, bukannya bebanan kepada rakyat terutamanya dalam memastikan pengurusan ibadah haji negara berjalan secara teratur.

Pemerhati politik, Muhammad Safuan Solihin berkata, desakan Ahli Parlimen Kubang Kerian, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man supaya syarat itu dibatalkan perlu dinilai secara menyeluruh dengan mengambil kira kemampuan kewangan bakal jemaah serta kelestarian pengurusan haji.

Beliau menegaskan, sebarang kritikan yang dilemparkan untuk memansuhkan syarat berkenaan perlu disertai cadangan mekanisme alternatif bagi memastikan bakal jemaah mempunyai persediaan kewangan mencukupi apabila menerima tawaran haji.

“Tuan Ibrahim berhak membangkitkan kebimbangan mengenai kemampuan rakyat, khususnya pasangan suami isteri yang perlu membuat persediaan kewangan bersama.

“Namun, jika syarat itu mahu dibatalkan, beliau juga perlu menjelaskan apakah mekanisme alternatif yang boleh memastikan bakal jemaah bersedia dari segi kewangan apabila menerima tawaran.

“Perbahasan politik sepatutnya tidak terhenti pada tuntutan memansuhkan sesuatu syarat, sebaliknya, setiap cadangan perlu disertakan penyelesaian praktikal yang mengambil kira kebajikan pendeposit dan keperluan memastikan pengurusan haji berjalan secara teratur,” katanya kepada The Malaysia Press (TMP), pada Khamis.

Sebelum ini, Tuan Ibrahim menggesa kerajaab membatalkan cadangan mewajibkan bakal jemaah haji mempunyai simpanan RM15,000 dalam akaun khusus sehingga tiba giliran menunaikan ibadah itu kerana dikhuatiri membebankan umat Islam, khususnya golongan berpendapatan rendah.

Beliau yang memaklumkan perkara itu ketika membahas Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat menegaskan, jumlah simpanan itu boleh mencecah RM30,000 bagi pasangan suami isteri yang merancang menunaikan haji bersama-sama.

Mengulas lanjut, Muhammad Safuan berpandangan, penetapan syarat kewangan berkenaan seharusnya diteliti berdasarkan sudut persediaan bakal jemaah supaya mereka tidak berdepan kesukaran kewangan apabila menerima tawaran untuk berangkat ke Tanah Suci.

“(Lembaga) Tabung Haji (TH) bukan sekadar institusi yang menguruskan perjalanan jemaah, malah berperanan membantu umat Islam membuat persediaan kewangan bagi memenuhi rukun Islam kelima.

“Justeru, usaha membina disiplin simpanan dan mengukur kemampuan bakal jemaah wajar dinilai berdasarkan tujuan serta hasil pelaksanaannya,” katanya.

Muhammad Safuan berkata, jumlah simpanan RM15,000 itu juga tidak seharusnya disamakan dengan kos keseluruhan menunaikan haji kerana kerajaan masih menyediakan bantuan kewangan bagi meringankan beban jemaah, khususnya daripada golongan berpendapatan rendah.

Beliau menjelaskan, bagi musim haji 2026, kos haji seorang jemaah Muassasah ialah RM33,300, manakala jemaah kumpulan B40 membayar RM15,000 selepas menerima bantuan kewangan haji sebanyak RM18,300 seorang.

“Perkara sedemikian menunjukkan bahawa bantuan kepada golongan berpendapatan rendah masih menjadi sebahagian daripada pendekatan pengurusan TH.

“Perbahasan mengenai syarat simpanan perlu mengambil kira keseluruhan sistem bantuan tersebut, bukan hanya melihat jumlah yang perlu tersedia dalam akaun pendeposit,” katanya.

Sementara itu, Muhammad Safuan berkata, TH sebelum ini memaklumkan kadar penangguhan tawaran haji menurun kepada 18 peratus berbanding purata sekitar 50 peratus pada tahun-tahun sebelumnya selepas syarat simpanan minimum diperkenalkan.

“Perkembangan itu menunjukkan kepentingan aspek persediaan kewangan dalam pengurusan tawaran haji, walaupun keberkesanan syarat berkenaan perlu dinilai bersama faktor lain yang mempengaruhi keputusan bakal jemaah.

“Matlamat pengurusan haji bukan sekadar memudahkan rakyat memperoleh tawaran, tetapi turut memastikan mereka yang berangkat mempunyai persediaan sewajarnya untuk menunaikan ibadah berkenaan tanpa mengabaikan tanggungjawab kewangan masing-masing,” katanya.

Related Posts

Internet lebih luas, Awan AI Berdaulat memperkasa kedaulatan digital negara – Fahmi

KUALA LUMPUR – Pembangunan Awan AI Berdaulat merupakan antara langkah utama kerajaan MADANI bagi memastikan maklumat terperingkat negara kekal selamat dan tidak terjejas oleh dasar serta perundangan negara asing. Menteri Komunikasi…

Lebih lanjut

teruskan membaca
Raja-Raja Melayu tegaskan pertikaian takhta Negeri Sembilan bukan bahan politik

KUALA LUMPUR – Raja-Raja Melayu mengingatkan semua pihak supaya tidak mencampuri atau mempolitikkan pertikaian takhta Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, sebaliknya memberi ruang kepada pihak berautoriti menyelesaikannya mengikut saluran sah…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Internet lebih luas, Awan AI Berdaulat memperkasa kedaulatan digital negara – Fahmi

Internet lebih luas, Awan AI Berdaulat memperkasa kedaulatan digital negara – Fahmi

Balingian wajar dinaik taraf sebagai daerah penuh – Abdul Yakub

Balingian wajar dinaik taraf sebagai daerah penuh – Abdul Yakub

Mourinho guna magik, Real bangkit tewaskan Roma

Mourinho guna magik, Real bangkit tewaskan Roma

Nik Abduh bela Eric See-To, mana ketegasan Pas soal al-Quran?

Nik Abduh bela Eric See-To, mana ketegasan Pas soal al-Quran?

Barcola buktikan kehebatan, bantu Liverpool kenduri gol

Barcola buktikan kehebatan, bantu Liverpool kenduri gol

60 penerbangan pembenihan awan dilaksana, rekod 90 peratus kejayaan

60 penerbangan pembenihan awan dilaksana, rekod 90 peratus kejayaan