Belanjawan 2027 perlu dilaksana segera, impak rakyat jadi keutamaan – Shamsul Azri

KUALA LUMPUR – Semua kementerian dan jabatan kerajaan perlu mempercepatkan persiapan pelaksanaan Belanjawan MADANI 2027 bagi memastikan setiap inisiatif yang diumumkan dapat diterjemahkan kepada manfaat nyata kepada rakyat seawal tahun depan.

Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar berkata, kejayaan belanjawan tidak seharusnya diukur berdasarkan jumlah peruntukan yang diumumkan, sebaliknya melalui keberkesanan pelaksanaannya serta impak yang dirasai rakyat.

Beliau berkata, pelaksanaan belanjawan itu menuntut komitmen seluruh jentera kerajaan untuk memastikan bantuan sampai kepada golongan sasar, projek disiapkan mengikut jadual dan urusan rakyat diselesaikan tanpa kerenah birokrasi.

“Belanjawan bukan berakhir apabila pembentangan selesai. Sebaliknya, pada saat itulah tanggungjawab kita bermula dengan lebih besar,” katanya ketika berucap pada Sesi Khas Pasca Pembentangan Belanjawan 2027 dan Pelancaran Aplikasi MyResQ di Dewan Tunku Canselor, Universiti Malaya (UM), di sini, hari ini.

Shamsul Azri berkata, beliau sudah mengeluarkan arahan pada 12 Oktober lalu kepada semua ketua setiausaha kementerian dan ketua jabatan supaya memulakan perancangan pelaksanaan langkah Belanjawan MADANI 2027 dari sekarang.

Katanya, setiap ringgit yang dibelanjakan perlu menghasilkan nilai, manakala setiap dasar dan keputusan pentadbiran mesti membawa perubahan yang boleh dirasai rakyat.

“Rakyat menilai kerajaan melalui kemudahan yang dapat dinikmati, bantuan yang sampai kepada golongan sasar, urusan yang dapat diselesaikan tanpa kerenah birokrasi, projek yang disiapkan mengikut jadual serta keadilan yang dirasai ketika berurusan dengan institusi kerajaan,” katanya.

Beliau berkata, usaha itu penting ketika Malaysia berdepan ketidaktentuan ekonomi global, ketegangan geopolitik, perubahan iklim serta perkembangan pesat kecerdasan buatan (AI) yang memberi kesan kepada ekonomi, perdagangan dan peluang pekerjaan.

Menurutnya, kerajaan perlu terus memperkukuh daya tahan ekonomi, meningkatkan produktiviti, menarik pelaburan berkualiti dan memperluas peluang pekerjaan serta pendapatan yang lebih baik kepada rakyat.

Pada masa sama, beliau menegaskan perkhidmatan awam perlu mengubah pendekatan daripada berorientasikan perbelanjaan kepada pencapaian hasil, selain memastikan setiap peruntukan diurus secara berhemah, berdisiplin dan bertanggungjawab.

“Setiap kelewatan projek, pembaziran, ketirisan, pertindihan fungsi dan proses kerja yang tidak perlu mempunyai kos pematuhan yang akhirnya ditanggung oleh rakyat,” katanya.

Belanjawan MADANI 2027 bertemakan ‘Menggapai di Langit, Mengakar di Bumi’ memperuntukkan RM461.84 bilion, merangkumi RM376.8 bilion bagi perbelanjaan mengurus Persekutuan dan RM85 bilion bagi perbelanjaan pembangunan Persekutuan.

Kerajaan turut menyasarkan pengurangan defisit fiskal kepada 3.3 peratus daripada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) pada 2027, sebelum mencapai tiga peratus menjelang 2028.

Related Posts

Jerebu: Semua sekolah bawah lapan PPD di Selangor ditutup esok, UASA ditangguh

SHAH ALAM – Semua sekolah di bawah lapan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) di Selangor diarahkan tutup pada Jumaat susulan kemerosotan kualiti udara akibat jerebu. Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek…

Lebih lanjut

teruskan membaca
Jerebu rentas sempadan: Kerajaan sudah usaha sedaya mungkin – Anwar

KUALA LUMPUR – Kerajaan telah melakukan segala usaha sebaik mungkin menerusi rundingan dengan Indonesia bagi menangani isu jerebu rentas sempadan yang semakin membimbangkan ketika ini. Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Maritim Sandakan rampas aset lebih RM508,000, tahan 10 individu

  • By Fandi
  • October 15, 2026
Maritim Sandakan rampas aset lebih RM508,000, tahan 10 individu

Jerebu: Semua sekolah bawah lapan PPD di Selangor ditutup esok, UASA ditangguh

Jerebu: Semua sekolah bawah lapan PPD di Selangor ditutup esok, UASA ditangguh

ADUN Tellian gesa tindakan tegas gempur dadah sintetik, judi dalam talian

ADUN Tellian gesa tindakan tegas gempur dadah sintetik, judi dalam talian

Miliki 120 telur penyu, lelaki dipenjara setahun, denda RM50,000

  • By Fandi
  • October 15, 2026
Miliki 120 telur penyu, lelaki dipenjara setahun, denda RM50,000

Jerebu rentas sempadan: Kerajaan sudah usaha sedaya mungkin – Anwar

Jerebu rentas sempadan: Kerajaan sudah usaha sedaya mungkin – Anwar

ADUN Tellian cadang kuarters baharu Mukah dikongsi bersama penjawat awam Persekutuan

ADUN Tellian cadang kuarters baharu Mukah dikongsi bersama penjawat awam Persekutuan