Sanusi perlu jawab isu tanah, transaksi RM40 juta – Mahfuz

MENTERI Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, perlu memberikan penjelasan berhubung status tanah dan urus niaga berkaitan projek Litar Lumba Antarabangsa Sungai Petani yang pernah diumumkan kerajaan negeri, bukannya sekadar menafikan mengenali individu yang dilaporkan ditahan polis.

Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mahfuz Omar berkata, persoalan mengenai tanah dan transaksi berjumlah RM40 juta itu perlu dijawab secara terbuka bagi membolehkan rakyat memahami kedudukan sebenar projek berkenaan.

Menurut beliau, kenyataan media yang dikeluarkan pada 7 Oktober lalu masih belum mendapat penjelasan tuntas, khususnya berkaitan status tanah yang terlibat serta hubungan antara transaksi korporat yang didedahkan dengan kes pecah amanah RM40 juta yang dilaporkan sedang disiasat polis.

“Perkara yang perlu diberikan perhatian bukan soal sama ada Sanusi mengenali atau tidak mengenali wanita yang disyaki terlibat dalam kes berkenaan.

“Rakyat mahu penjelasan tentang projek yang pernah diumumkan kerajaan negeri, status tanah yang terlibat dan urus niaga berkaitan dengannya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mahfuz berkata, pada Ogos 2022, Sanusi dilaporkan mengumumkan projek Litar Lumba Antarabangsa Sungai Petani bernilai RM75 juta yang dirancang di kawasan Ambangan Heights, Bandar Amanjaya, di atas tanah yang dikaitkan dengan Menteri Besar Kedah Incorporated (MBI).

Beliau turut merujuk dokumen korporat HHRG Berhad bertarikh April 2024 yang menyatakan cadangan pengambilalihan 51 peratus kepentingan dalam dua syarikat, iaitu PKB Open Road (SP Circuit) Sdn. Bhd. dan ORIC Development (SP) Sdn. Bhd., dengan jumlah balasan tunai RM40 juta.

Katanya, dokumen sama turut menyebut tanah seluas 607,000 meter persegi di bawah butiran HSD 131170, PT 2426, Mukim Bandar Amanjaya, Daerah Kuala Muda, dengan Menteri Besar Kedah Incorporated (MBKI) dinyatakan sebagai pemilik berdaftar.

Dokumen itu juga merekodkan perjanjian jual beli tanah antara MBKI dengan PKB Open Road (SP Circuit) Sdn. Bhd. pada 9 Januari 2023, melibatkan harga RM24.299 juta.

Sehubungan itu, Mahfuz mengemukakan dua persoalan utama yang menurutnya perlu dijelaskan oleh Menteri Besar Kedah.

“Pertama, adakah tanah HSD 131170, PT 2426 itu tanah yang sama dengan tapak projek litar lumba yang diumumkan pada 2022?

“Jika ya, apakah status hak milik tanah itu sekarang dan apakah urus niaga yang telah berlaku? Jika bukan, apakah butiran hak milik tanah sebenar bagi projek berkenaan?” katanya.

Persoalan kedua, menurut Mahfuz, ialah sama ada transaksi RM40 juta yang dinyatakan dalam dokumen HHRG Berhad mempunyai kaitan dengan RM40 juta yang dilaporkan sedang disiasat polis atau kedua-duanya merupakan urusan berasingan.

Beliau menegaskan, pihaknya tidak meminta Sanusi mengambil alih tugas polis atau membuat kesimpulan mengenai individu yang sedang disiasat, sebaliknya memberikan penjelasan berdasarkan fakta berkaitan tanah dan perjalanan projek yang berada dalam pengetahuan kerajaan negeri.

“Siasatan dan penentuan salah laku adalah urusan pihak berkuasa serta tertakluk kepada proses undang-undang. Namun, status tanah dan perjalanan projek yang pernah diumumkan kerajaan negeri merupakan perkara yang wajar dijelaskan kepada rakyat,” katanya.

Mahfuz berkata, penjelasan mengenai isu berkenaan perlu menjurus kepada persoalan sebenar dan bukannya berkisar kepada sama ada Menteri Besar mengenali individu yang ditahan.

“Kalau orang bertanya tentang geran tanah, jangan dijawab dengan cerita tidak tahu siapa yang ditahan. Kalau orang bertanya tentang transaksi, jangan sekadar menjawab tidak mengenali wanita tersebut.

“Rakyat tidak meminta jawapan berbunga-bunga. Rakyat meminta fakta yang boleh diperiksa,” katanya.

Beliau berharap Sanusi dapat menjawab kedua-dua persoalan itu secara terus terang bagi membezakan fakta daripada dakwaan, sekali gus mengelakkan orang ramai membuat andaian sendiri berhubung isu berkenaan.

Menurutnya, ketelusan dalam urusan tanah dan kepentingan entiti berkaitan kerajaan negeri merupakan sebahagian daripada tanggungjawab kepada rakyat.

Related Posts

IPU Sandakan cecah 112, berada pada tahap tidak sihat

SANDAKAN – Bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di Sandakan mencatatkan 112 setakat pukul 3 petang, sekali gus meletakkan kawasan itu dalam kategori tidak sihat. Berdasarkan data Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran…

Lebih lanjut

teruskan membaca
Kelewatan Pan Borneo Fasa 1A libat pelbagai cabaran – Salleh

KOTA KINABALU – Kelewatan Projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah Fasa 1A bukan berpunca daripada satu pihak sahaja, sebaliknya membabitkan pelbagai cabaran teknikal, pentadbiran dan kewangan, kata Ketua Merinyu Projek, Datuk…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

IPU Sandakan cecah 112, berada pada tahap tidak sihat

  • By Fandi
  • October 15, 2026
IPU Sandakan cecah 112, berada pada tahap tidak sihat

Kelewatan Pan Borneo Fasa 1A libat pelbagai cabaran – Salleh

Kelewatan Pan Borneo Fasa 1A libat pelbagai cabaran – Salleh

Puad persoal idea ekonomi Hamzah, tindakan Rafizi lepas kerusi Pandan

Puad persoal idea ekonomi Hamzah, tindakan Rafizi lepas kerusi Pandan

Cadangan mansuh syarat simpanan minimum RM15,000 haji dijawab di Dewan Rakyat

Cadangan mansuh syarat simpanan minimum RM15,000 haji dijawab di Dewan Rakyat

Pengerusi PERDA tidak mengaku terima suapan RM800,000

Pengerusi PERDA tidak mengaku terima suapan RM800,000

557 lampu jalan solar dicadang dipasang di laluan ke Pekan Kabong

557 lampu jalan solar dicadang dipasang di laluan ke Pekan Kabong