Dakwa Belanjawan 2027 ‘gula-gula politik’, mana alternatif pembangkang?

PUTRAJAYA – Melabelkan peningkatan bantuan menerusi Belanjawan 2027 sebagai gula-gula politik tanpa menunjukkan bukti dan alternatif yang lebih berkesan mempamerkan drama politik tidak matang pembangkang dalam melaksanakan semak dan imbang.

Penganalisis sosiopolitik, keselamatan dan hubungan antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM), Nur Ashikin Yusof berkata, dakwaan itu perlu dipersembahkan serta dinilai berdasarkan bukti, reka bentuk dasar dan keperluan sebenar rakyat.

Beliau tidak menafikan pengumuman bantuan kerajaan boleh membawa manfaat politik kepada pihak yang memerintah namun tidak secara automatik langkah diambil kerajaan membuktikan bahawa sesuatu dasar diperkenalkan semata-mata untuk meraih undi.

“Dari perspektif keselamatan manusia, bantuan sosial berperanan mengurangkan kerentanan ekonomi, khususnya dalam kalangan isi rumah berpendapatan rendah, pekerja bergaji tetap dan golongan yang terkesan oleh kenaikan kos barangan serta perkhidmatan.

“Sekiranya peningkatan bantuan dibuat berdasarkan penelitian terhadap keluhan rakyat, data pendapatan, perubahan harga dan jurang perlindungan sosial, langkah itu boleh menjadi sebahagian daripada usaha memperkukuh ketahanan ekonomi masyarakat,” katanya kepada The Malaysia Press (TMP), pada Rabu.

Nur Ashikin berkata, jika benar-benar prihatin terhadap rakyat, pembangkang seharusnya menilai sama ada bantuan tersebut mencukupi untuk memenuhi keperluan asas, sama ada mekanisme penyalurannya adil atau terdapat pendekatan lebih berkesan meningkatkan pendapatan boleh guna rakyat.

“Pembangkang berhak persoal sama ada bantuan diberikan cukup, disasarkan dengan tepat dan mampu dikekalkan dalam jangka panjang. Persoalan ini penting kerana bantuan tunai bersifat sementara tidak semestinya menyelesaikan masalah struktur seperti produktiviti rendah, gaji tidak sepadan dengan kos hidup, kekurangan pekerjaan berkualiti dan kebergantungan isi rumah terhadap hutang.

“Pembangkang wajar mengemukakan penilaian alternatif yang menunjukkan bagaimana kebajikan rakyat boleh dipertingkatkan dengan penggunaan sumber awam yang lebih cekap,” katanya.

Dalam pada itu, Nur Ashikin menegaskan, pembentangan belanjawan alternatif merupakan antara mekanisme paling konstruktif untuk membuktikan kematangan politik pembangkang.

Menurutnya, jika Ketua Pembangkang berpendapat bahawa Belanjawan 2027 tidak mencukupi atau tidak menangani masalah rakyat secara berkesan, beliau sewajarnya mengemukakan cadangan alternatif yang lengkap dan boleh dinilai secara objektif.

“Belanjawan alternatif seharusnya menjelaskan keutamaan perbelanjaan, sumber hasil kerajaan, strategi mengurangkan defisit, mekanisme meningkatkan pendapatan rakyat dan pendekatan menangani ancaman keselamatan negara.

“Dalam konteks keselamatan menyeluruh, ia juga perlu memberikan perhatian kepada kesiapsiagaan pertahanan, keselamatan sempadan, keselamatan siber, keterjaminan makanan, tenaga serta ketahanan rantaian bekalan strategik.

“Pembangkang perlu menjelaskan bukan sahaja perkara yang ingin dilakukan, tetapi juga bagaimana ia akan dibiayai dan apakah implikasinya kepada ekonomi negara. Sebagai contoh, sekiranya mereka mahu meningkatkan bantuan tunai, mereka perlu menyatakan sumber pembiayaan dan mekanisme memastikan bantuan sampai kepada kumpulan yang memerlukan,” katanya.

Tambahnya, sekiranya pembangkang mencadangkan pengurangan cukai atau subsidi, mereka perlu menilai kesannya terhadap hasil kerajaan dan kedudukan kewangan negara.

“Di sinilah letaknya perbezaan antara kritikan politik dengan kepimpinan yang bertanggungjawab. Mengkritik belanjawan kerajaan mungkin menarik perhatian, tetapi mengemukakan belanjawan alternatif yang berdaya maju menunjukkan kemampuan berfikir secara strategik, memahami kekangan fiskal dan menyeimbangkan tuntutan kebajikan dengan keperluan keselamatan negara.

“Teguran membina lebih tegas ialah pembangkang tidak sepatutnya hanya meminta rakyat menilai kelemahan kerajaan, tetapi memberi rakyat asas kukuh untuk menilai kemampuan mereka sendiri. Jika pembangkang dakwa ada pendekatan lebih baik, mereka perlu buktikan melalui pengiraan kos, sasaran yang jelas, unjuran impak dan pelan pelaksanaan yang realistik.

“Belanjawan alternatif juga boleh meningkatkan ketelusan demokrasi kerana rakyat dapat membandingkan dua atau lebih pendekatan pengurusan negara. Perbahasan kemudian beralih daripada pertarungan naratif mengenai siapa bakal memerintah kepada perbandingan dasar yang boleh diukur dari segi keberkesanan, kemampuan fiskal dan manfaat kepada rakyat,” katanya.

Terdahulu, Peningkatan peruntukan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam Belanjawan 2027 memberi bayangan bahawa Pilihan Raya Umum (PRU) mungkin diadakan tahun depan.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin, berkata belanjawan yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, sarat dengan pengumuman berbentuk ‘gula-gula’ susulan peningkatan perbelanjaan mengurus sebanyak 11.41 peratus kepada RM376.8 bilion

Related Posts

KWAP bina kediaman siswa bukan isu, pelaburan mampu jana pulangan

CADANGAN Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) melabur RM750 juta bagi membina kediaman siswa di enam universiti awam bukan isu besar kerana pelaburan itu berpotensi menjana pulangan kepada dana persaraan penjawat…

Lebih lanjut

teruskan membaca
Pengangguran rendah bukan cerminan realiti pasaran buruh

KUALA LUMPUR – Kadar pengangguran kekal rendah pada 3.0 tahun lalu berbanding 3.2 pada 2024 tidak mencerminkan sepenuhnya landskap pasaran buruh negara. Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, landskap…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

IPU Sandakan cecah 112, berada pada tahap tidak sihat

  • By Fandi
  • October 15, 2026
IPU Sandakan cecah 112, berada pada tahap tidak sihat

Kelewatan Pan Borneo Fasa 1A libat pelbagai cabaran – Salleh

Kelewatan Pan Borneo Fasa 1A libat pelbagai cabaran – Salleh

Puad persoal idea ekonomi Hamzah, tindakan Rafizi lepas kerusi Pandan

Puad persoal idea ekonomi Hamzah, tindakan Rafizi lepas kerusi Pandan

Cadangan mansuh syarat simpanan minimum RM15,000 haji dijawab di Dewan Rakyat

Cadangan mansuh syarat simpanan minimum RM15,000 haji dijawab di Dewan Rakyat

Pengerusi PERDA tidak mengaku terima suapan RM800,000

Pengerusi PERDA tidak mengaku terima suapan RM800,000

557 lampu jalan solar dicadang dipasang di laluan ke Pekan Kabong

557 lampu jalan solar dicadang dipasang di laluan ke Pekan Kabong