KUALA LUMPUR – Perikatan Nasional (PN) gagal mendapatkan perintah penangguhan sementara terhadap notis Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) yang menggantung semua kegiatan gabungan itu sehingga permohonan semakan kehakiman didengar dan diputuskan.
Bagaimanapun, Hakim, Datuk Azizan Md Arshad menetapkan 22 Oktober ini bagi mendengar permohonan PN untuk penggantungan inter-parte atau secara dua pihak, membabitkan notis sama.
Dalam prosiding serupa, beliau membenarkan gabungan parti memulakan semakan kehakiman bagi mencabar perkara itu.
Mahkamah membuat keputusan tersebut selepas mendengar penghujahan peguam, Ivanpal Singh Grewal yang mewakili PN dan Peguam Kanan Persekutuan, Nurhaffiza Azizan bagi Ketua Pengarah RoS, Datuk Mohd Zulfiqar Ahmad dan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail selaku responden.
Dengan keputusan mahkamah itu, PN kekal terhalang daripada menggunakan logo dan nama, serta semua kegiatan gabungan parti itu turut digantung sehingga pendengaran inter-parte (secara kedua belah pihak) didengar.
Permohonan kebenaran semakan kehakiman berkenaan difailkan lima pemimpin parti komponen PN, diketuai Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan.
Turut bertindak sebagai pemohon, ialah Setiausaha Agung Gerakan, Wong Chia Zhen; Setiausaha Agung Parti Rakyat India Malaysia (MIPP), Sathes Kumar Nilamaham; Setiausaha Agung Parti Wawasan Negara (Wawasan), Datuk Seri Saifuddin Abdullah; dan Setiausaha Agung Parti Pejuang Tanahair (Pejuang), Datuk Sazmi Miah.
Mereka menamakan RoS, Datuk Mohd Zulfikar Ahmad dan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail sebagai responden pertama dan kedua.
Mahkamah memutuskan pemohon berjaya melepasi ambang untuk memulakan prosiding semakan kehakiman, sekali gus membolehkan isu berbangkit dihujahkan pada peringkat substantif.
Mahkamah berpendapat, antara isu perlu diteliti ialah, sama ada kuasa statutori RoS membolehkan penggantungan diperluas sehingga menghalang PN daripada menyertai keseluruhan proses pilihan raya, termasuk Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang bakal berlangsung.
Azizan berkata, dengan membuat keputusan itu, tidak bermaksud mahkamah sudah memutuskan kesahan tindakan RoS, sebaliknya persoalan sama ada tindakan atau perintah itu sah di sisi undang-undang, akan ditentukan pada peringkat substantif apabila dihujahkan lebih terperinci
Berhubung permohonan penangguhan interim, Azizan berkata, ia terikat dengan keputusan Mahkamah Rayuan dalam kes terdahulu yang dibangkitkan pihak peguam.
Bagaimanapun beliau berkata, permohonan berkenaan diberikan keutamaan kerana hari penamaan calon dijadualkan 31 Oktober ini, dengan mengambil kira kepentingan awam.
Katanya, begitu juga ada keperluan memberikan ruang kepada pihak terbabit menyelesaikan isu berkenaan dalam tempoh yang sesuai, terutama menjelang PRN Melaka.
PN memfailkan permohonan bagi mencabar perintah penggantungan bertarikh 23 September 2026 yang dibuat mengikut subseksyen 13(2A) Akta Pertubuhan 1966, selain notis bertarikh 22 September 2026 yang menyatakan hasrat untuk membatalkan pendaftaran gabungan itu selepas tempoh 30 hari.
Antara alasan dikemukakan ialah, dakwaan bahawa RoS tidak mempunyai kuasa menentukan status BERSATU sebagai parti anggota PN, selain dakwaan penggantungan dibuat tanpa memberi gabungan itu peluang untuk didengar.
PN turut mendakwa, tindakan itu menjejaskan keupayaannya menjalankan kegiatan politik, termasuk memberi kuasa kepada calon untuk bertanding menggunakan nama dan simbol gabungan itu pada PRN Melaka.
Sebelum ini, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan hari penamaan calon bagi PRN Melaka ditetapkan pada 31 Oktober, manakala pengundian awal pada 10 November dan hari mengundi pada 14 November.




