
KUCHING – Semua sekolah rendah dan menengah di bawah seliaan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Serian, Sri Aman dan Lubok Antu akan ditutup sementara pada Rabu susulan keadaan jerebu dan bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) yang direkodkan pada paras tidak sihat.
Menurut Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Sarawak dalam kenyataan rasmi, keputusan tersebut dibuat berdasarkan pemantauan berterusan bacaan IPU setakat jam 2.00 petang pada Selasa, berserta laporan terkini daripada Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia).
Sepanjang tempoh penutupan, sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) akan dilaksanakan berpandukan Garis Panduan Pengurusan Pengajaran dan Pembelajaran Akibat Bencana oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).
Guru dan Anggota Kumpulan Pelaksana (AKP) pula dibenarkan untuk Bekerja Dari Rumah (BDR) sepanjang tempoh penutupan sementara sekolah.
“JPN Sarawak sentiasa menitikberatkan penjagaan kebajikan, kesihatan dan keselamatan murid khususnya semasa menghadapi keadaan cuaca panas ataupun sebarang keadaan cuaca yang di luar jangkaan,” menurut kenyataan jabatan itu.
Jelas JPN Sarawak lagi, sekolah yang terletak berhampiran dengan daerah yang mencatatkan bacaan IPU melebihi 150 boleh mempertimbangkan pelaksanaan PdPR berdasarkan faktor kesihatan dan keselamatan murid.
“Sekiranya trend IPU menunjukkan penurunan kepada paras di bawah 150, guru besar dan pengetua boleh membuat persediaan sewajarnya untuk membuka semula sekolah.
Bagaimanapun, Pentaksiran Kemasukan Sekolah Khusus (PKSK), peperiksaan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) dan Ujian Penilaian Dual Language Programme Sarawak Tahun 6 (UP-DLPS 6) akan diteruskan seperti biasa mengikut jadual yang telah ditetapkan.
Maklumat lanjut mengenai pelaksanaan pentaksiran dan peperiksaan berkenaan boleh dirujuk melalui laman Facebook rasmi JPN Sarawak.
Dalam pada itu, JPN Sarawak turut menasihatkan semua institusi pendidikan di bawah seliaannya supaya memantau perkembangan semasa IPU melalui Sistem Pengurusan Indeks Pencemar Udara Malaysia (APIMS) kendalian Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan mematuhi saranan kesihatan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Sebagai rekod, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek turut mengesahkan sekolah di bawah PPD Serian, Sri Aman dan Lubok Antu adalah antara premis yang ditutup pada 14 Oktober akibat kemerosotan kualiti udara, bersama beberapa negeri dan daerah lain di seluruh negara.





