
KUCHING – Sarawak bakal menubuhkan Majlis Pendidikan Sarawak sebagai sebuah platform strategik bagi memperkukuh dan menyelaraskan dasar serta program pendidikan negeri secara lebih tersusun dan holistik.
Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, majlis tersebut akan bertanggungjawab menyelaraskan pendidikan menengah, pembangunan bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), latihan perguruan, serta pendidikan tinggi agar ia seiring dengan keperluan bakat industri strategik Sarawak.
“Majlis ini akan memastikan setiap keutamaan dan aspirasi Sarawak kekal sebagai teras utama kepada sistem pendidikan kita,” katanya ketika membentangkan Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) Sarawak 2027 pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, pada Isnin.
Menurut Abang Johari, majlis berkenaan juga akan memainkan peranan penting dalam memudah cara pembangunan pendidikan bertaraf antarabangsa dan pendidikan tinggi.
Jelasnya, langkah proaktif itu diharap dapat memperkukuhkan lagi kedudukan Sarawak sebagai hab pendidikan serantau, sekali gus menarik lebih ramai pelajar dan bakat dari luar negeri serta peringkat antarabangsa.
Penubuhan majlis tersebut merupakan sebahagian daripada kerangka usaha yang lebih meluas oleh Kerajaan Sarawak dalam memperkasa sektor pendidikan dan pembangunan modal insan tempatan.
Sebagai rekod, bagi tahun 2027, kerajaan Sarawak menyediakan peruntukan keseluruhan berjumlah RM454.34 juta untuk pelbagai inisiatif pendidikan dan pembangunan bakat.
Ia merangkumi kelangsungan program pendidikan antarabangsa, sokongan akademik, institusi latihan teknikal serta pembangunan graduan.
Antara peruntukan khusus yang diumumkan ialah RM40 juta bagi perbelanjaan operasi dan pembangunan Sekolah Menengah Antarabangsa Yayasan Sarawak, RM25 juta untuk Program Peningkatan Pendidikan Sarawak (SEEP), serta RM121.5 juta bagi menampung kos operasi institusi-institusi latihan teknikal milik negeri.
Sehubungan itu, penubuhan Majlis Pendidikan Sarawak dijangka melengkapkan ekosistem ini dengan menjadi platform penyelarasan rasmi antara pembangunan akademik dan unjuran keperluan sebenar tenaga kerja, khususnya dalam sektor yang telah dikenal pasti sebagai pemacu industri strategik negeri.
Foto: Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS)





