
KUCHING – Projek Loji Janakuasa Turbin Gas Kitaran Gabungan (CCGT) Miri berkapasiti 500 megawatt (MW) kini telah mencapai 63 peratus kemajuan fizikal setakat suku ketiga tahun ini dan disasarkan mula beroperasi secara komersial menjelang akhir tahun 2027.
Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak, Datuk Dr Malcolm Mussen Lamoh berkata, projek mega bernilai RM2.5 bilion itu merupakan antara komponen paling penting dalam kerangka pembangunan Hab Gas Miri di bawah Pelan Hala Tuju Gas Sarawak (SGR).
“Setelah beroperasi kelak, loji ini dijangka menggunakan kira-kira 75 hingga 80 juta kaki padu piawai gas asli sehari bagi menyediakan bekalan elektrik yang lebih dipercayai dan cekap untuk kawasan utara Sarawak.
“Kapasiti kuasa tambahan yang disokong oleh akses lebih besar kepada gas tempatan ini juga akan mengukuhkan daya tarikan Miri bagi pelaburan hiliran berasaskan gas dan industri berkaitan tenaga,” katanya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, pada Selasa.
Mengulas lanjut, Dr Malcolm memaklumkan bahawa Kerajaan Sarawak menerusi Petroleum Sarawak Berhad (PETROS) kini sedang giat membangunkan Miri sebagai sebuah hab gas strategik bagi menyokong industri hiliran, perkhidmatan minyak dan gas, serta aktiviti ekonomi berasaskan sumber tersebut.
Menurut beliau, pembangunan hab gas itu disokong oleh rangkaian infrastruktur bersepadu yang merangkumi sumber gas di kawasan hulu dan daratan, kemudahan penerimaan gas, loji CCGT, fasiliti gas asli cecair (LNG) berskala kecil, serta sistem pengangkutan LNG.
Sebagai rekod, inisiatif SGR menetapkan Miri sebagai antara empat hab gas strategik negeri, selain Bintulu, Samalaju dan Kuching. Pelan komprehensif itu meletakkan loji CCGT Miri sebagai infrastruktur tunjang bagi memenuhi peningkatan mendadak permintaan tenaga di wilayah utara Sarawak.
Dalam pada itu, PETROS menerusi anak syarikatnya, Sarawak Gas Distribution Sdn Bhd (SGD) terus memperluaskan rangkaian pengagihan gas berpaip di bandar raya Miri. Ketika ini, SGD merekodkan pembekalan gas berpaip kepada lebih 25,000 isi rumah dan melebihi 1,000 premis perniagaan komersial serta industri di kawasan tersebut.
Dr Malcolm menegaskan, pembangunan Hab Gas Miri dijangka bakal membuka lebih banyak ruang pelaburan baharu dalam sektor tenaga, di samping menyediakan peluang keemasan kepada syarikat tempatan untuk menyertai rantaian bekalan berkaitan.





