
KUALA LUMPUR – Kekurangan bilik darjah Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) di bawah seliaan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Daro perlu ditangani segera, selain kebajikan dan laluan kerjaya guru Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) wajar diperkasakan.
Ahli Parlimen Igan, Ahmad Johnie Zawawi berkata, enam buah sekolah di bawah PPD Daro kini memerlukan sekurang-kurangnya 11 kelas tambahan PPKI bagi menampung pertambahan bilangan murid berkeperluan pendidikan khas (MBPK).
Enam sekolah terbabit merangkumi Sekolah Kebangsaan (SK) Abang Gesa, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Matu, SMK Toh Puan Datuk Patinggi Hajah Normah Daro, SMK Semop, SK Bawang Tian dan SK Hijrah Badong.
Menurut beliau, antara sekolah yang berdepan kekangan kritikal ialah SK Abang Gesa yang menempatkan 25 murid, manakala SK Hijrah Badong merekodkan bilangan murid PPKI yang terlalu padat berbanding kapasiti ruang kelas sedia ada.
“Murid PPKI mempunyai tahap keupayaan dan tingkah laku yang berbeza. Kesesakan kelas bukan sahaja menyukarkan guru untuk memberikan perhatian yang sewajarnya, malah boleh menjejaskan tahap keselamatan dan keberkesanan pembelajaran,” katanya ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2027 di Dewan Rakyat, pada Isnin.
Bagi menyelesaikan masalah tersebut, beliau menggesa Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menyediakan peruntukan khas untuk mewujudkan ruang pembelajaran sementara, termasuk pemasangan sekatan ruang yang mematuhi spesifikasi keselamatan.
Pada masa yang sama, beliau mendesak agar kelulusan pembukaan kelas baharu dipercepatkan bagi membolehkan permohonan penambahan guru serta Pembantu Pengurusan Murid (PPM) diproses berdasarkan keperluan sebenar sekolah.
Dalam perkembangan berasingan, Ahmad Johnie menggesa Kerajaan Persekutuan dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) meneliti semula status perkhidmatan serta kebajikan guru KAFA, terutamanya bagi mereka yang berkhidmat di kawasan luar bandar dan pedalaman.
Beliau mencadangkan agar kadar elaun bulanan disemak semula berdasarkan tahap kelayakan akademik, pengalaman dan tempoh perkhidmatan. Selain itu, inisiatif seperti skim lantikan tetap, latihan perguruan, pensijilan serta laluan kemajuan kerjaya yang lebih tersusun juga perlu diwujudkan.
“Guru KAFA bukan sekadar mengajar pendidikan agama, tetapi mereka turut berperanan membentuk akhlak dan sahsiah generasi masa depan negara,” tegasnya.
Sebagai rekod, elaun asas guru KAFA yang diselaraskan oleh JAKIM dan dibiayai oleh kerajaan Persekutuan pada masa ini kekal pada paras RM1,100 sebulan.





