
PUTRAJAYA – Kementerian Komunikasi akan terus memperkukuh agenda kesalinghubungan komunikasi negara menerusi pelaburan RM5 bilion bagi meningkatkan capaian Internet seperti yang diumumkan dalam Belanjawan 2027 pada Jumaat.
Kementerian itu turut menyatakan, peruntukkan lebih RM130 juta pula akan digunakan bagi merancakkan industri kreatif tempatan.
Katanya, peruntukan itu turut merangkumi RM142 juta bagi memperhebat Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI), sekali gus memperkukuh penyampaian maklumat kerajaan, nilai kenegaraan dan ekonomi jingga negara.
“Dalam usaha memperkasa industri kreatif, kerajaan akan menyediakan insentif kepada produksi filem dan animasi tempatan serta antarabangsa yang menjalankan penggambaran di Malaysia.
“Ia termasuk insentif tambahan bagi karya yang mengetengahkan budaya Malaysia dan nilai kenegaraan,” menurut kenyataan itu pada Ahad.
Menurut kenyataan itu, kerajaan juga akan melaksanakan pengecualian penuh duti hiburan bagi tiket filem dan persembahan teater tempatan di Wilayah Persekutuan mulai 2027.
Selain itu, usaha melahirkan 20 harta intelek baharu dan mengkomersialkan watak Malaysia di peringkat antarabangsa akan diteruskan bagi memperluas potensi pasaran kandungan kreatif negara.
“Dalam sektor telekomunikasi, pelaburan RM5 bilion melalui Projek Jalinan Digital Negara (JENDELA) akan memperkukuh ketersambungan Internet.
“Ini termasuk menyediakan liputan 4G di semua kampung Orang Asli serta memperluas capaian Internet di sepanjang 7,000 kilometer jalan raya dan 1,700 kilometer laluan rel kereta api.
“Pelaksanaan Kabel Dasar Laut MADANI (SALAM) turut menjadi sebahagian daripada inisiatif untuk meningkatkan kesalinghubungan digital negara.
“Kerajaan juga memperuntukkan RM1 bilion bagi pelaksanaan Projek Sistem Rekod Perubatan Elektronik di fasiliti kesihatan seluruh negara,” ujar kenyataan itu lagi.
Pada masa sama, Kementerian Komunikasi turut komited melaksanakan Kempen Internet Selamat di semua sekolah dengan tumpuan kepada usaha menangani buli siber dan eksploitasi kanak-kanak.
“Kementerian Komunikasi yakin langkah berkenaan mampu meningkatkan keterhubungan komunikasi, memperkukuh literasi digital dan merancakkan pertumbuhan industri kreatif yang berkualiti, sekali gus menyokong pembangunan ekonomi digital negara,” katanya.






