
MIRI – Pengumuman pelantikan lebih 9,000 doktor kontrak ke jawatan tetap dalam pembentangan Belanjawan 2027 disambut baik oleh pelbagai pihak yang melihat langkah tersebut sebagai usaha penting dalam menghargai jasa dan pengorbanan petugas kesihatan negara.
Seorang penjawat awam, Audrey Aileen, 34, berkata, pengumuman berkenaan memberi sinar baharu kepada para doktor kontrak yang selama ini berkhidmat dengan penuh dedikasi dalam memastikan perkhidmatan kesihatan kepada rakyat terus berjalan dengan baik.
Menurutnya, pelantikan ke jawatan tetap bukan sahaja memberikan kestabilan kerjaya kepada golongan doktor, malah mampu meningkatkan motivasi mereka untuk terus memberikan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat.

“Saya menyambut baik pengumuman ini kerana ia merupakan satu pengiktirafan terhadap pengorbanan dan komitmen para doktor yang telah berkhidmat menjaga kesihatan rakyat.
“Dengan adanya peluang pelantikan tetap, saya percaya mereka akan lebih bersemangat untuk meneruskan tanggungjawab dengan penuh dedikasi,” katanya ketika dihubungi TMP.
Audrey berkata, petugas kesihatan memainkan peranan besar dalam memastikan sistem kesihatan negara untuk terus kukuh, khususnya dalam menghadapi pelbagai cabaran semasa.
“Doktor dan petugas kesihatan merupakan antara barisan hadapan yang banyak berjasa kepada masyarakat. Usaha memastikan kebajikan mereka terpelihara amat penting supaya mereka dapat terus menjalankan tugas dalam persekitaran yang lebih baik,” ujarnya.
Beliau turut mengucapkan tahniah kepada doktor yang bakal menerima pelantikan tetap dan berharap lebih banyak inisiatif berkaitan kebajikan penjawat awam serta petugas kesihatan dapat diteruskan pada masa akan datang.
“Saya berharap langkah seperti ini dapat diperluaskan kerana sokongan terhadap tenaga kerja kesihatan bukan sahaja memberi manfaat kepada mereka, tetapi turut menyumbang kepada pengukuhan sistem kesihatan negara demi kesejahteraan rakyat,” katanya.
Dalam perkembangan lain, pengumuman berkaitan penambahbaikan bantuan FLYSiswa dalam Belanjawan 2027 memberi kelegaan kepada pelajar khususnya dari Sabah, Sarawak dan Labuan yang sedang melanjutkan pengajian di Semenanjung Malaysia.
Menurut seorang pelajar asal Sarawak, Danish Akhtar, 20, yang kini menuntut di Perak, bantuan tersebut dianggap sangat bermakna kerana kos perjalanan udara untuk pulang ke kampung halaman sering menjadi antara cabaran utama sepanjang tempoh pengajian.

Katanya, pengumuman itu sedikit sebanyak membantu mengurangkan beban kewangan terutama ketika musim cuti semester atau perayaan apabila harga tiket penerbangan biasanya meningkat.
“Sebagai pelajar yang berjauhan daripada keluarga, perjalanan pulang ke Sarawak bukanlah sesuatu yang mudah kerana kos tiket kapal terbang agak tinggi. Kadang-kadang kami perlu merancang lebih awal atau menangguhkan kepulangan kerana perlu mengutamakan perbelanjaan harian dan pembelajaran,” katanya.
Beliau turut menzahirkan rasa syukur kerana inisiatif tersebut dapat membantu mahasiswa perantauan untuk lebih mudah kembali bertemu keluarga.
“Bagi kami yang berada jauh di Semenanjung, kampung halaman di Sarawak sentiasa menjadi tempat untuk kembali mendapatkan semangat dan sokongan keluarga.
“Bantuan seperti ini amat bermakna kerana ia dapat meringankan tekanan kewangan dan memberi peluang kepada kami untuk pulang apabila diperlukan,” ujarnya ketika dihubungi.
Tambahnya, sokongan terhadap kebajikan mahasiswa luar kawasan memberi motivasi kepada pelajar untuk terus memberi tumpuan kepada pengajian.
“Sebagai pelajar, kami sangat menghargai usaha yang dapat membantu mengurangkan beban kos sara hidup. Ia bukan sahaja membantu dari segi kewangan, tetapi memberi rasa dihargai kepada mahasiswa yang terpaksa berjauhan dengan keluarga demi melanjutkan pendidikan,” katanya.
Bantuan FLYSiswa merupakan antara inisiatif yang disediakan bagi membantu pelajar yang layak mendapatkan akses perjalanan udara antara Semenanjung Malaysia, Sabah, Sarawak dan Labuan.






