
KUALA PERLIS – Penekanan terhadap pembangunan teknologi kecerdasan buatan (AI) dalam Belanjawan MADANI 2027 mendapat sokongan penggiat industri teknologi yang menyifatkannya sebagai langkah strategik bagi memperkukuh daya saing Malaysia dalam ekonomi digital global.
Ketua Pegawai Eksekutif Prompt Lab Technology, Kapten Dr. Baharin Baharom berkata, pengumuman oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim itu memperlihatkan komitmen kerajaan dalam mempersiapkan negara menghadapi perkembangan teknologi dunia yang semakin pesat.
Menurutnya, AI bukan lagi teknologi masa hadapan semata-mata, sebaliknya sudah menjadi keperluan semasa yang mampu membawa perubahan besar kepada sektor pentadbiran kerajaan, pendidikan, perniagaan dan industri.
“Saya menyambut baik dan menyokong penuh usaha Kerajaan MADANI yang memberikan perhatian khusus terhadap pembangunan teknologi kecerdasan buatan dalam Belanjawan 2027.
“Langkah ini membuktikan kesungguhan kerajaan memastikan Malaysia tidak ketinggalan dalam arus Revolusi Perindustrian Keempat dan perkembangan teknologi dunia,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Baharin yang juga Pengarah Program Bengkel A.I Mega Langkawi 2026 berkata, antara inisiatif yang disambut baik ialah tambahan 100,000 langganan AI percuma, peruntukan RM30 juta bagi membantu 4,000 perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) mengaplikasikan AI serta latihan dan pensijilan untuk 5,000 profesional AI.
Katanya, inisiatif tersebut berpotensi mempercepat proses pendigitalan negara, meningkatkan produktiviti organisasi, mengurangkan kos operasi serta mewujudkan peluang pekerjaan baharu berasaskan kemahiran teknologi tinggi.
Bagaimanapun, beliau menegaskan kejayaan pembangunan AI tidak seharusnya diukur melalui jumlah pelaburan atau kecanggihan infrastruktur semata-mata, tetapi turut mengambil kira sejauh mana manfaatnya dapat dinikmati semua lapisan masyarakat.
“Teknologi AI tidak sepatutnya menjadi keistimewaan golongan profesional, syarikat besar atau masyarakat bandar sahaja.
“Penjawat awam, guru, pelajar sekolah, peniaga kecil, nelayan, petani, pengusaha pelancongan dan masyarakat luar bandar juga mesti diberikan peluang mempelajari dan menggunakan teknologi ini,” katanya.
Sehubungan itu, Baharin mencadangkan program latihan AI secara praktikal diperluas ke seluruh negara termasuk kawasan luar bandar dan kepulauan bagi memastikan masyarakat tidak tercicir daripada arus perkembangan teknologi.
Menurutnya, pendekatan latihan yang mudah difahami dan berorientasikan penyelesaian masalah sebenar perlu diperbanyakkan bagi membolehkan teknologi AI dimanfaatkan secara meluas.
Beliau berkata, AI juga berpotensi meningkatkan kecekapan sektor pelancongan, pengangkutan, pertanian pintar dan perkhidmatan awam, selain membantu PMKS memperkukuh operasi perniagaan masing-masing.
Pada masa sama, Baharin menekankan kepentingan melahirkan lebih ramai tenaga mahir tempatan dalam bidang automasi pintar, analitik data, pembangunan aplikasi dan keselamatan siber supaya Malaysia tidak hanya bergantung kepada teknologi luar.
“Jika Malaysia mahu berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan negara maju, penguasaan teknologi AI bukan lagi satu pilihan tetapi keperluan strategik negara.
“Kita tidak boleh hanya menjadi pengguna teknologi yang dibangunkan negara luar, sebaliknya perlu melahirkan rakyat yang berkemahiran, inovatif dan berupaya membangunkan penyelesaian teknologi sendiri,” katanya.
Beliau berharap peruntukan dan inisiatif pembangunan AI dalam Belanjawan MADANI 2027 dapat dilaksanakan secara menyeluruh dengan petunjuk prestasi yang jelas bagi memastikan manfaatnya benar-benar sampai kepada rakyat.
“Belanjawan yang memberikan perhatian kepada pembangunan AI merupakan pelaburan terhadap masa depan rakyat dan negara.
“Namun, kejayaan sebenar bergantung kepada keberkesanan pelaksanaan, akses latihan yang saksama dan kemampuan rakyat menggunakan teknologi tersebut untuk meningkatkan taraf hidup mereka,” katanya.






