
MUKAH – Program Sarawakku Sayang (SKS) 2026 Bahagian Mukah bakal menghimpunkan 50 agensi kerajaan, badan berkanun dan rakan strategik yang menawarkan 170 perkhidmatan kepada masyarakat sepanjang penganjurannya di Dataran Pehin Setia Raja, bermula 2 hingga 4 Oktober ini.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata, program tersebut merupakan edisi kelapan siri jelajah SKS dan menawarkan jumlah perkhidmatan paling tinggi berbanding penganjuran terdahulu.
“SKS merupakan platform khas Kerajaan Sarawak untuk mendekati rakyat. Daripada rakyat biasa datang ke pejabat atau kementerian, kali ini kita buat ‘outreach’ dengan agensi turun padang membawa perkhidmatan terus kepada komuniti,” katanya pada satu sidang media pada Isnin.
Kemuncak program itu adalah majlis perasmian yang bakal disempurnakan oleh Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg pada 3 Oktober ini.
Fatimah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dalat berkata, beberapa perkhidmatan baharu turut disediakan pada edisi Mukah merangkumi urusan kewangan, kesihatan, keagamaan dan peluang pekerjaan.
Menurutnya, Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS) akan menawarkan perkhidmatan permohonan Kad Nikah secara percuma, manakala perkhidmatan kesihatan termasuk saringan, vaksinasi influenza percuma untuk warga emas serta ujian HPV DNA bagi saringan kanser serviks.
Bagi golongan belia dan pencari kerja, Karnival Kerjaya JobSarawak akan melibatkan beberapa syarikat utama termasuk Sarawak Oil Palms Berhad, Press Metal dan TH Plantations.
Syarikat berkenaan tersenarai dalam kalangan majikan yang berdaftar secara rasmi dengan portal pekerjaan tersebut.
Fatimah turut mengajak penduduk Mukah dan kawasan sekitarnya supaya memanfaatkan pelbagai perkhidmatan, maklumat pendidikan, bantuan sosial dan peluang kerjaya yang disediakan.
Sebagai tarikan, sebanyak 85 hadiah disediakan untuk orang ramai menerusi cabutan bertuah, dengan hadiah utama berupa sebuah kereta Proton Saga.






