
KUCHING – Belanjawan Sarawak yang bakal dibentangkan pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) kelak dijangka mencatatkan bajet lebihan susulan lonjakan pendapatan negeri yang kini mencecah kira-kira RM14 bilion.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS), Datuk Abdullah Saidol berkata, peningkatan pendapatan yang diumumkan oleh Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg baru-baru ini memberi isyarat jelas bahawa belanjawan akan datang bakal mengagihkan peruntukan besar melebihi 60 peratus khusus untuk perbelanjaan pembangunan.
Berdasarkan perancangan di bawah Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030), beliau menjangkakan fokus utama perbelanjaan negeri terarah kepada pemerkasaan ekonomi digital secara menyeluruh.
“Ini termasuk pelaburan berimpak tinggi dalam teknologi Kecerdasan Buatan (AI) seiring dengan penubuhan Institut AI Sarawak,” ujar beliau.
Beliau berkata demikian ketika ditemu ramah oleh pemberita selepas merasmikan Bengkel Media Sarawak 2026 anjuran Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) di Pusat Kecemerlangan Teknikal Sarawak (Centexs) Kuching pada Rabu.
Selain pengembangan AI, katanya lagi, inisiatif berteknologi tinggi merangkumi penerokaan ruang aeroangkasa seperti pemindahan teknologi pembuatan dan penghantaran satelit ke orbit turut dijangka menerima suntikan dana bagi membina kepakaran tempatan.
“Bagi menyeimbangkan kerancakan ekonomi digital, sebahagian besar daripada peruntukan pembangunan berkenaan diyakini akan terus disalurkan ke kawasan pedalaman dan luar bandar bagi merapatkan jurang kelengkapan infrastruktur,” katanya.
Ujar beliau, langkah ini dilihat amat kritikal bagi memastikan kelangsungan projek naik taraf kemudahan awam dan jaringan perhubungan asas di luar bandar dapat disiapkan dengan lancar, sekali gus menyokong agenda kelestarian sosioekonomi masyarakat di peringkat akar umbi.






