
SEMPORNA – Pengurusan sampah di Semporna perlu ditambah baik khususnya dari segi kutipan, pengangkutan dan pemindahan sampah supaya lebih berkesan dan sistematik.
Ahli Jawatankuasa Tertinggi Persatuan Pengusaha Syarikat Pelancongan Bumiputera Tempatan Semporna (PUSPABUMI), Syukryn Abdul Salam berkata, ia penting kerana selari dengan kedudukan Semporna sebagai destinasi pelancongan bertaraf antarabangsa.
“Isu kebersihan memerlukan kerjasama semua pihak termasuk kerajaan, pihak berkuasa tempatan (PBT), pemain industri, komuniti dan pengunjung.
“Bagaimanapun, peningkatan kapasiti operasi, kenderaan dan kemudahan pengurusan sisa juga perlu diberi perhatian.
“Kebersihan kawasan pelancongan bukan sahaja berkait dengan keselesaan penduduk dan pengunjung, malah turut memberi kesan kepada imej serta daya tarikan Semporna di mata pelancong, ” katanya dalam kenyataan, pada Rabu.
Menurut Syukryn, sempena International Coastal Cleanup Day 2026 di Melanta Tutup Beach, baru-baru ini, mereka mengutip sebanyak 254.43 kilogram sampah sepanjang 100 meter kawasan pantai terbabit.
“Lebih 2,800 barangan sampah turut dikutip dalam aktiviti berkenaan, menunjukkan keperluan usaha menjaga kebersihan dilaksanakan secara berterusan dan menyeluruh.
“Komitmen menjaga kebersihan Semporna turut dilaksanakan menerusi program EcoPledge bersama Reef Check Malaysia yang berjaya mengumpul hampir 20 tan sampah dari kawasan resort, pulau serta perairan daerah itu sehingga Jun lalu,” jelasnya.







