
TABUNG Solidariti Najib Razak yang diwujudkan UMNO bagi membantu bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak membayar denda RM50 juta didakwa sebagai ‘jarum halus’ untuk menghalalkan perbuatan rasuah.
Naib Ketua Wanita Parti Keadilan Rakyat (PKR), Loh Ker Chean berkata, tindakan berkenaan menimbulkan persoalan sama ada UMNO sedang membentuk budaya bahawa rasuah boleh dimaafkan sekiranya melibatkan pemimpin yang mendapat sokongan.
“Jika seorang pemimpin yang disabitkan kesalahan boleh mendapat sokongan kewangan sebuah parti untuk membantu membayar hukuman kewangannya, kita perlu bertanya adakah kita sedang membina budaya membenci rasuah atau budaya memaafkan rasuah apabila pelakunya ialah pemimpin yang kita sokong?
“Dalam negara yang mahu membina budaya integriti, kesalahan rasuah tidak sepatutnya dinilai berdasarkan niat atau populariti seseorang tetapi berdasarkan undang-undang dan prinsip akauntabiliti,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Pada Jumaat, UMNO melancarkan Tabung Solidariti Najib Razak bagi mengumpul RM50 juta bagi membantu bekas Presiden UMNO itu melunaskan denda yang menjadi antara syarat pengampunan bersyarat diterimanya.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki memaklumkan kutipan tabung berkenaan mencecah RM1 juta pada jam 9.30 pagi Sabtu.
Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim sebelum ini memperkenankan pengampunan bersyarat kepada Najib, termasuk membenarkannya menjalani baki hukuman secara tahanan di rumah sehingga 23 Ogos 2028, tertakluk kepada pembayaran denda RM50 juta serta syarat yang ditetapkan.
Najib sedang menjalani hukuman selepas disabitkan bersalah atas tujuh pertuduhan membabitkan pecah amanah jenayah, salah guna kuasa dan pengubahan wang haram berkaitan RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd.
Ker Chean berkata, usaha mengumpul dana berkenaan turut menimbulkan persoalan mengenai mesej yang disampaikan kepada generasi muda ketika negara sedang berusaha memperkukuh budaya integriti dan antirasuah.







