
PENAMPANG – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Sabah menyita 13 kenderaan membabitkan 12 kereta dan sebuah motosikal dalam Ops Ekstrem yang memberi tumpuan kepada kenderaan diubah suai secara ekstrem dan tidak mematuhi spesifikasi ditetapkan.
Pengarah JPJ Sabah, Datuk Mohd Harris Ali berkata, antara pengubahsuaian yang diberi perhatian termasuk perubahan pada bentuk dan peralatan kenderaan, sistem suspensi termasuk penggunaan air suspension (airsus), nombor pendaftaran serta sistem ekzos.
“Tindakan penguatkuasaan bukan ditujukan kepada sesuatu jenis pengubahsuaian semata-mata, sebaliknya berdasarkan sama ada kenderaan berkenaan mematuhi spesifikasi dan peraturan ditetapkan.
“Pengubahsuaian kenderaan dikawal selia di bawah Seksyen 12 Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat JPJ Sabah, di sini, pada Sabtu.

Menurutnya, sebanyak 24 kenderaan diambil tindakan dalam operasi itu dengan 81 notis dikeluarkan atas pelbagai kesalahan.
“Ia turut membabitkan kesalahan ekzos, nombor pendaftaran tidak mengikut spesifikasi, Lesen Kenderaan Motor (LKM) tamat tempoh, tiada perlindungan insurans dan cermin gelap.
“Jalan raya bukanlah medan untuk kita mempamerkan pengubahsuaian ekstrem ataupun menguji keupayaan kenderaan masing-masing dan melakukan apa-apa perbuatan yang boleh mengganggu dan mengancam pengguna jalan raya yang lain,” tegasnya.

Dalam pada itu, beliau berkata, Ops Ekstrem dilaksanakan susulan aduan orang ramai serta pemerhatian JPJ terhadap peningkatan kesalahan pengubahsuaian kenderaan yang turut menimbulkan gangguan bunyi dan ketenteraman masyarakat.
Katanya, operasi berkenaan akan diteruskan secara berterusan di seluruh Sabah dengan kerjasama agensi penguat kuasa berkaitan.







