
KUANTAN – Jabatan Komunikasi Komuniti (JKOM) akan menggerakkan 17 siri Program MADANI Kita (PMK) di seluruh negara bagi merapatkan jurang komunikasi antara kerajaan dan rakyat di peringkat akar umbi.
Menyifatkan jabatan itu sebagai ‘jambatan’ penghubung, Ketua Pengarah JKOM, Mohd Hisyamuddin Ghazali berkata, program itu bukan sekadar medan penyampaian maklumat dan dasar kerajaan, malah menjadi platform interaksi dua hala untuk mendengar keperluan komuniti.
“PMK adalah inisiatif strategik Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi, Jabatan Perdana Menteri yang dirangka untuk menjawab persoalan asas iaitu memastikan apa yang dirancang oleh kerajaan benar-benar difahami dan dirasai manfaatnya oleh rakyat.
“Komunikasi kerajaan tidak boleh bergerak dalam satu hala sahaja. Komunikasi yang berjaya adalah apabila rakyat merasakan mereka didengar, difahami dan tidak ditinggalkan. Kerajaan menyampaikan, rakyat menyuarakan, dan JKOM menghubungkan,” katanya ketika berucap pada PMK Bersama Komuniti Sungai Isap Damai, di sini, hari ini.
Program itu dirasmikan Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Dr Fuziah Salleh.
Hadir sama Timbalan Ketua Pengarah JKOM, Suwadi Guliling.

Sebagai rekod, PMK di Kuantan adalah siri kelima anjuran JKOM selepas ia berjaya dilaksanakan di Gopeng, Perak pada 13 September lalu.
Terdapat baki 12 lagi siri PMK yang akan digerakkan di seluruh negara dengan dua daripadanya dijadual berlangsung secara serentak esok (20 September) di Dewan Undangan Negeri Teja, Perak dan Bayan Baru, Pulau Pinang.
Mengulas lanjut mengenai pengisian PMK, Mohd Hisyamuddin menjelaskan, program ini turut membawa pelbagai perkhidmatan daripada kementerian dan agensi kerajaan bagi memudahkan rakyat mendapatkan penyelesaian masalah yang komprehensif.
“Rakyat bukan sekadar penerima manfaat pembangunan, malah mereka adalah pemegang taruh (stakeholder) terbesar dalam pembangunan negara. Oleh itu, pandangan dan persoalan mereka amat penting.
“Kejayaan PMK tidak seharusnya diukur pada jumlah kehadiran semata-mata, sebaliknya ia diukur pada berapa ramai rakyat yang pulang dengan kefahaman yang lebih jelas, keyakinan yang lebih kukuh dan harapan yang lebih tinggi terhadap agenda kerajaan,” tambahnya.
Justeru, katanya, pengajaran PMK di Sungai Isap Damai itu diharap dapat memberi manfaat kepada pengunjung dalam memahami perkhidmatan disediakan kerajaan serta menyuarakan pandangan bagi membina kesejahteraan komuniti.






