KUALA LUMPUR – Anthony Loke mengumumkan peletakan jawatan sebagai Menteri Pengangkutan susulan keputusan pengampunan bersyarat terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang membolehkan beliau menjalani baki hukuman di bawah tahanan rumah.
Bagaimanapun, Setiausaha Agung DAP itu menegaskan keputusan berkenaan tidak bermakna parti itu menarik diri daripada Kerajaan Perpaduan apabila menteri dan timbalan menteri DAP akan terus kekal dalam kerajaan.
Anthony berkata, keputusan meletakkan jawatan itu dibuat selepas Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP mengadakan mesyuarat tergempar selama tiga jam di ibu pejabat parti berkenaan, hari ini.
Katanya, beliau sendiri mengemukakan cadangan untuk berundur daripada Kabinet sebelum mendapat persetujuan CEC sebagai reaksi parti terhadap perkembangan berkenaan.
“Keputusan ini dicapai selepas mesyuarat CEC DAP yang berlangsung selama tiga jam bagi membincangkan perkembangan berkenaan.
“Saya mengemuka cadangan ini kepada CEC dan kita membuat keputusan bahawa saya meletakkan jawatan sebagai reaksi parti terhadap apa yang telah berlaku,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat DAP di sini, hari ini.
Beliau berkata, surat peletakan jawatan sebagai Menteri Pengangkutan akan dihantar kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam masa terdekat.
Mengulas kesinambungan pentadbiran kementerian itu, Anthony berkata, semua urusan termasuk perancangan dan projek yang sudah diputuskan akan diteruskan seperti biasa.
“‘No, minister come and go’ (Tidak, menteri datang dan pergi). Kementerian juga akan berfungsi seperti biasa.
“Sebab kementerian tidak berhenti berfungsi apabila menteri letak jawatan,” katanya.
Semalam, Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan mengumumkan Najib, 73, mendapat pengampunan bersyarat yang membolehkan beliau menjalani baki hukuman di bawah tahanan rumah sehingga 23 Ogos 2028, tertakluk kepada syarat ditetapkan termasuk membayar denda RM50 juta.
Keputusan itu dibuat pada Mesyuarat ke-64 Lembaga Pengampunan bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya di Istana Negara.
Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU), Jabatan Perdana Menteri memaklumkan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, memberi perkenan terhadap pengampunan bersyarat berkenaan.





