SPRM tak terima arahan PM, sesiapa untuk siasat rasuah – Azam Baki

KUALA LUMPUR – Tan Sri Azam Baki menolak tohmahan kononnya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menerima arahan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dalam menjalankan siasatan terhadap kes rasuah.

Ketua Pesuruhjaya SPRM itu sebaliknya, menegaskan tuduhan terbabit adalah tidak berasas dengan suruhanjaya itu menjalankan tugasnya mengikut bidang kuasa dan berteraskan prinsip kedaulatan serta keluhuran undang-undang.

“Saya tidak menerima apa-apa arahan daripada mana-mana pihak dalam menjalankan siasatan.

“Tak wajar kami nak dituduh terima arahan daripada Perdana Menteri dalam menjalankan sesuatu siasatan. Saya hanya jalankan tugas mengikut bidang kuasa dan lunas undang-undang,” katanya.

Beliau ditemui media selepas menghadiri rakaman Program Bual Bicara Soal Rakyat terbitan TV3 di Sri Pentas, Bandar Utama, lapor BH pada Isnin.

Sebelum ini, terdapat portal berita tempatan dan antarabangsa mendakwa SPRM menerima arahan daripada pihak tertentu termasuk Perdana Menteri bagi menyiasat individu tertentu.

Pada 26 September lalu, Bloomberg yang memetik tiga sumber dengan mengaitkan Perdana Menteri mengarahkan SPRM supaya tidak menyiasat bekas Setiausaha Politiknya, Farhash Wafa Salvador.

Ia berhubung pembelian kontroversi saham dalam sebuah syarikat yang terbabit dalam pembangunan sistem imigresen bernilai RM1 bilion.

Pejabat Perdana Menteri (PMO) dalam kenyataannya sebelum ini turut menafikan dakwaan terbabit, selain tuduhan mengaitkan arahan supaya SPRM menyiasat bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamed dan anak-anaknya serta bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin.

Anwar pada Februari lalu turut menegaskan, SPRM tidak perlu merujuk kepada beliau jika ada laporan atau dakwaan rasuah atau salah guna kuasa membabitkan Kabinetnya.

Sebaliknya, Perdana Menteri berkata SPRM boleh teruskan siasatan dan melakukan pendakwaan kepada mana-mana kepemimpinan yang ada ketika ini.

Sementara itu, Azam ketika ditanya mengenai isu rasuah dalam kalangan kepemimpinan yang menerajui Kerajaan Madani, menjelaskan setakat ini, ia masih terkawal.

“Kalau saya lihat berhubung Kerajaan Madani sekarang, setakat ini daripada pemerhatian (SPRM) dan daripada maklumat diterima, tak banyak isu (berbangkit), begitu juga tohmahan, ia tak begitu serius. Antara perkara yang (diutarakan) mengenai isu tatakelola dan sebagainya.

“Berkemungkinan, yang disebut Perdana Menteri (mengenai kes rasuah dalam kalangan pemimpin) adalah kes yang lepas dan dilaporkan kepada kami. Kami di SPRM tidak meletakkan ‘time limit’ (had masa), jika ada aduan disalurkan, kami akan nilai maklumat itu dan jalankan siasatan,” katanya.

Sabtu lalu, Anwar menegaskan jasa kepada negara bukan lesen buat bekas pemimpin mengaut kekayaan secara salah dan mengelak daripada dikenakan tindakan undang-undang.

Perdana Menteri berkata, sikap korup pemimpin negara terdahulu dalam pentadbiran menyebabkan masalah kemiskinan terus membelenggu rakyat dan perkara itu tidak selesai meskipun kerajaan silih berganti.

Related Posts

Majikan swasta disaran laksana kerja fleksibel tangani tekanan kos

PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menyarankan majikan sektor swasta mempertimbangkan pelaksanaan waktu kerja fleksibel, termasuk bekerja dari rumah (BDR), sebagai langkah mengurangkan penggunaan bahan api, mengekang tekanan…

Lebih lanjut

teruskan membaca
Catat kutipan cukai tertinggi RM203.9 bilion bukti kecekapan HASiL

PUTRAJAYA – Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (HASiL) mencatat kutipan cukai tertinggi dalam sejarah negara sebanyak RM203.991 bilion bagi tahun 2025, sekali gus membuktikan kecekapan sistem percukaian negara, kata Perdana…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

MINDET, KPDN berganding bahu tingkatkan ekosistem harta intelek

MINDET, KPDN berganding bahu tingkatkan ekosistem harta intelek

Isu diesel ke Filipina: MCMC ambil keterangan wanita, sita telefon

Isu diesel ke Filipina: MCMC ambil keterangan wanita, sita telefon

Majikan swasta disaran laksana kerja fleksibel tangani tekanan kos

Majikan swasta disaran laksana kerja fleksibel tangani tekanan kos

Catat kutipan cukai tertinggi RM203.9 bilion bukti kecekapan HASiL

Catat kutipan cukai tertinggi RM203.9 bilion bukti kecekapan HASiL

Calon Ketua SPRM baharu sudah ada, tunggu masa diumum – PM

Calon Ketua SPRM baharu sudah ada, tunggu masa diumum – PM

UAS tarik lebih 3,000 hadirin ke wacana ilmu di Sepanggar

UAS tarik lebih 3,000 hadirin ke wacana ilmu di Sepanggar