
KUANTAN – Seramai 20 keluarga kurang berkemampuan (B40) dari dua sekolah dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Inderapura menerima sumbangan bakul makanan dan vitamin C, pagi tadi.
Pemilihan penerima sumbangan bagi Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Soi dan SK Belukar itu dibuat oleh pihak sekolah dengan kerjasama pemimpin setempat.
Majlis ringkas penyerahan sumbangan dilakukan oleh Ahli Majlis Bandaraya Kuantan, Fakhrul Anuar Zulkawi.
Fakhrul Anuar memberitahu, sumbangan bagi pelajar dari keluarga B40 itu mendapat kerjasama Pertubuhan Bantuan Teknikal Insaf Malaysia (INSAF Malaysia).
“Selain penyerahan bantuan, saya juga mengambil peluang untuk berkongsi maklumat mengenai inisiatif Kerajaan MADANI yang boleh dimanfaatkan penduduk setempat.
“Antaranya Geran Sejahtera MADANI yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sempena Hari Merdeka Ke-69, baru-baru ini,” katanya.
Beliau turut merakamkan ucapan penghargaan kepada pihak INSAF Malaysia yang sudi turun padang dan menyediakan sumbangan berkenaan.
Katanya, sumbangan itu diharap dapat mengurangkan beban ditanggung keluarga pelajar berkenaan dan memberi semangat kepada mereka dalam menumpukan perhatian kepada pelajaran.






