
KUCHING – Pemimpin politik di Semenanjung disaran untuk mencontohi sikap serta semangat kepimpinan yang ditunjukkan oleh barisan pemimpin daripada kerajaan Sabah dan Sarawak demi mengekalkan keharmonian negara.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau secara peribadi amat menghargai dan terharu dengan nilai persahabatan yang cukup jitu di antara kerajaan Persekutuan dengan kepemimpinan wilayah Borneo.
Menurut beliau, walaupun wujud perbezaan pendapat pada peringkat Kabinet, ia disifatkan sebagai asam garam pentadbiran yang boleh ditangani secara tenang.
“Saya bersyukur kerana pimpinan peringkat Jemaah Menteri, ya, kadang-kadang adalah sedikit-sedikit suara-suara dalam perhimpunan dan sebagainya. Itu biasa-biasa, tenang-tenang.
“Tetapi, dalam hubungan saya dengan pimpinan kerajaan Sarawak dan Sabah, saya ucap saya sangat hargai dan terharu dengan persahabatan yang jitu begini.

“Dan sering saya sampaikan kepada kawan-kawan saya di Semenanjung, banyak yang boleh kita belajar daripada kepemimpinan Sabah dan Sarawak ini,” jelasnya.
Beliau berkata demikian dalam amanat perdananya bersempena dengan malam kemuncak Sambutan Hari Malaysia Peringkat Kebangsaan 2026 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) pada Rabu.
Mengulas lanjut mengenai nilai kepemimpinan tersebut, Anwar memuji tahap kewarasan dan hikmah pemimpin wilayah Borneo dalam menguruskan penyelesaian hak di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Sebagai contoh, penyerahan kuasa kawal selia elektrik kepada Sabah serta status Pelabuhan Bintulu kepada Sarawak telah diuruskan dengan matang tanpa sebarang sikap membolot atau mengambil kesempatan.
“Dia tahu harus ada kerjasama yang baik dengan kerajaan Persekutuan untuk memakmurkan Sarawak, dengan sendirinya memakmurkan Malaysia,” tambah beliau lagi.
Foto: Jabatan Penerangan Malaysia





