
KEMAMAN- Bunyi geseran pasir pada dinding sebuah rumah membawa kepada penemuan seekor penyu yang dipercayai daripada spesies penyu agar di Kampung Geliga, dekat sini.
Memetik sumber Sinar Harian, kejadian kira-kira jam 8 malam pada 30 Julai lalu itu disedari seorang guru taska, Nadia Sharheera Talib, 31, ketika berada di rumah bapanya, Talib Kubek, 65.
Rumah berkenaan terletak kurang 100 meter dari Pantai Geliga.
Menurut Nadia Sharheera, suasana yang sunyi menyebabkan bunyi pasir mengenai dinding rumah dapat didengari dengan jelas sebelum beliau keluar untuk melakukan pemeriksaan.
“Saya pada mulanya tertanya-tanya mengenai bunyi itu. Apabila diperiksa, rupa-rupanya terdapat seekor penyu bersaiz agak besar sedang mengorek pasir berhampiran rumah,” katanya.
Beliau bersama bapa saudaranya kemudian memerhatikan penyu tersebut dari jam 8 hingga 10 malam tanpa mengganggu pergerakannya.
Nadia Sharheera berkata, rakaman turut dibuat menggunakan fungsi kamera mod malam pada telefon pintar bagi mengelakkan cahaya terang yang boleh mengejutkan reptilia marin berkenaan.
Menurutnya, beberapa saudara-mara turut datang menyaksikan kejadian itu, namun mereka memastikan keadaan kekal gelap dan sunyi.
Penyu berkenaan dilihat mengambil masa agak lama untuk menggali lubang serta berhenti berehat beberapa kali sebelum kembali semula ke laut tanpa bertelur.
Kejadian itu merupakan kali kedua penyu dikesan naik berhampiran kediaman keluarganya selepas kejadian serupa berlaku beberapa tahun lalu.
Pengalaman tersebut kemudiannya dikongsikan di Threads dengan kapsyen “Tetamu special kita. Naik belakang rumah je, jumpa lagi nanti” dan menerima lebih 11,000 reaksi serta 515 perkongsian.
Kemunculan penyu berkenaan bukan sahaja memberikan pengalaman istimewa kepada keluarga tersebut, malah memperlihatkan kepentingan kawasan pesisir Geliga sebagai habitat dan laluan pendaratan hidupan marin.
Orang ramai yang menemukan penyu di kawasan pantai dinasihatkan supaya tidak menyentuh, menghalang pergerakan atau menggunakan cahaya terang yang boleh mengganggu haiwan berkenaan.






