Kebebasan bersuara bukan lesen untuk menghina, memperlekeh kepercayaan orang lain

KUCHING – Ahli Parlimen Puncak Borneo, Datuk Willie Mongin menggesa seluruh warga Katolik dan umat Kristian di negara ini untuk membuat laporan polis terhadap Ketua UMNO Bahagian Sepang, Datuk Noorazli Said berikutan jenaka berunsur seksual yang melibatkan tokoh dan kitab suci agama itu baru-baru ini.

Mengecam sekeras-kerasnya tindakan tersebut, beliau menegaskan watak paderi, biarawati serta rujukan terhadap surah Mazmur 129 tidak sepatutnya diputarbelitkan dan dijadikan bahan jenaka demi meraih sorakan di pentas perhimpunan politik nasional.

“Bagi saya, ini bukan soal selera humor yang berbeza. Apabila tokoh agama, kehidupan keagamaan dan kitab suci dijadikan bahan jenaka berunsur seksual, ia sudah melampaui batas kewajaran serta rasa hormat yang sepatutnya kita amalkan dalam sebuah negara majmuk,” katanya menerusi satu kenyataan media pada Selasa.

Menyentuh mengenai kesediaan Noorazli untuk memohon maaf jika timbul salah faham, Willie yang juga Ahli Majlis Tertinggi Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) menuntut agar permohonan maaf tersebut dilakukan secara jelas, terbuka dan tanpa syarat, khususnya kepada masyarakat Katolik yang tersinggung.

Beliau mengingatkan bahawa permohonan maaf itu tidak seharusnya dilakukan semata-mata untuk meredakan keadaan, sebaliknya perlu disusuli dengan niat ikhlas bagi menjulang keharmonian negara tanpa bersikap hipokrit.

“Rakyat dan kerajaan Malaysia perlu memberi isyarat jelas bahawa mana-mana individu yang memperkudakan isu 3R (agama, kaum, institusi diraja) harus dikenakan tindakan tegas demi perpaduan negara. Kebebasan bersuara bukan lesen untuk menghina atau memperlekehkan kepercayaan orang lain,” tegasnya yang turut menyokong agar pihak berkuasa menyiasat perkara itu secara profesional.

Dalam pada itu, beliau turut membangkitkan isu ‘dwistandard’ dengan mempersoalkan sama ada ia akan dianggap sekadar gurauan sekiranya jenaka serupa ditujukan kepada tokoh agama lain.

Justeru, beliau menyeru semua pemimpin politik agar lebih bertanggungjawab dan mengambil iktibar daripada keharmonian yang dinikmati di Sarawak di bawah pimpinan Gabungan Parti Sarawak (GPS), di mana rakyat saling menghormati perbezaan latar belakang.

“Hormati agama. Hormati tokoh agama. Hormati kitab suci dan hormati penganutnya. Itulah asas keharmonian Malaysia yang mesti kita pertahankan bersama,” ujarnya.

Related Posts

TYT Sarawak terima warkah jemputan Sambutan Hari Malaysia 2026

KUCHING – Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Wan Junaidi Tuanku Jaafar menerima warkah jemputan rasmi bagi menghadiri Sambutan Hari Malaysia Peringkat Kebangsaan 2026 yang akan berlangsung di Pusat…

Lebih lanjut

teruskan membaca
Tabung Kasih @HAWANA salur lebih RM729,000 santuni warga media seluruh negara

KUCHING – Kementerian Komunikasi menerusi inisiatif Tabung Kasih @HAWANA terus komited menyantuni dan menjaga kebajikan pengamal media, dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM729,300 telah disalurkan kepada 845 penerima di seluruh negara…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Mahkamah lepas, bebas Muhyiddin daripada empat pertuduhan RM200 juta

Mahkamah lepas, bebas Muhyiddin daripada empat pertuduhan RM200 juta

TYT Sarawak terima warkah jemputan Sambutan Hari Malaysia 2026

TYT Sarawak terima warkah jemputan Sambutan Hari Malaysia 2026

Tabung Kasih @HAWANA salur lebih RM729,000 santuni warga media seluruh negara

Tabung Kasih @HAWANA salur lebih RM729,000 santuni warga media seluruh negara

Isu Baja 3: Mohamad Sabu hantar notis tuntutan kepada pengguna Facebook

Isu Baja 3: Mohamad Sabu hantar notis tuntutan kepada pengguna Facebook

JPJ buka bidaan siri H sempena Hari Malaysia

JPJ buka bidaan siri H sempena Hari Malaysia

Isu jenaka agama: ADUN Tellian buat laporan polis, gesa henti sentuh 3R

Isu jenaka agama: ADUN Tellian buat laporan polis, gesa henti sentuh 3R