
KOTA KINABALU – Hak dan kepentingan Sabah di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), termasuk pemberian khas bersamaan 40 peratus daripada hasil bersih yang diperoleh Persekutuan dari Sabah, perlu terus ditangani melalui rundingan yang ikhlas dan konstruktif.
Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman berkata, usaha berkenaan mesti dilaksanakan berlandaskan semangat asal pembentukan Malaysia serta prinsip saling menghormati antara rakan dalam Persekutuan.
“Hari Malaysia yang disambut pada 16 September setiap tahun bukan sekadar memperingati pembentukan Malaysia pada 1963, tetapi menjadi peringatan terhadap janji dan tanggungjawab yang dipikul bersama dalam membina masa depan negara.
“Sabah dan Sarawak merupakan rakan yang tidak terpisah dalam Persekutuan serta telah memberikan sumbangan besar kepada kestabilan politik, pembangunan ekonomi, kekayaan sumber alam dan warisan budaya negara.
“Sumbangan dan aspirasi kedua-dua negeri harus terus diiktiraf dalam usaha kita bersama-sama membina masa depan negara,” katanya dalam perutusan sempena Hari Malaysia 2026, pada Selasa.
Menurut Musa berkata, masih banyak perkara perlu dilakukan khususnya bagi menangani jurang pembangunan yang masih wujud di Sabah.
“Perhatian lebih serius perlu diberikan kepada penyediaan infrastruktur asas, bekalan air dan elektrik yang boleh dipercayai, jalan raya dan jaringan perhubungan, selain memperkukuh perkhidmatan kesihatan, pendidikan serta peluang ekonomi.
“Saya menegaskan pembangunan perlu sampai ke setiap daerah, pekan, kampung dan masyarakat luar bandar agar tiada rakyat tercicir daripada arus kemajuan.
“Sabah yang lebih kuat dan makmur akhirnya akan menjadikan Malaysia lebih kuat dan makmur,” jelasnya.
Dalam pada itu, Musa turut mengingatkan bahawa kekuatan terbesar Malaysia terletak pada rakyatnya yang hidup dalam kepelbagaian kaum, budaya, agama dan tradisi.
“Kepelbagaian itu tidak seharusnya dijadikan punca perpecahan, sebaliknya perlu terus menjadi sumber kekuatan negara, khususnya dalam menghadapi ketidaktentuan dunia, tekanan ekonomi dan perubahan geopolitik.
“Tradisi toleransi, saling menghormati dan menerima perbezaan yang sekian lama menjadi identiti Sabah perlu terus dipelihara, sambil menegaskan tiada tempat bagi ekstremisme kaum atau agama di negara ini,” tegasnya.
Sehubungan itu, beliau menyeru pemimpin dan mereka yang bercita-cita memegang jawatan awam supaya mendahulukan kepentingan rakyat dan negara berbanding kepentingan peribadi atau politik yang sempit.
“Keuntungan politik tidak seharusnya dikejar dengan mengeksploitasi sentimen kaum dan agama, manakala perbezaan pandangan perlu disuarakan secara bertanggungjawab, berhemah dan berasaskan fakta.
“Semangat saling menghormati, kepercayaan dan kesatuan matlamat perlu terus diperkukuh bagi memastikan Malaysia mampu mengatasi cabaran mendatang serta membina negara yang aman, progresif, makmur dan dihormati,” jelasnya.
Musa dijangka akan meramikan Sambutan Hari Malaysia Peringkat Negeri Sabah di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) pada 16 September 2026 pukul 8.00 malam.






