
KOTA KINABALU – Penglibatan seramai 300 pelajar daripada pelbagai institusi pengajian tinggi dalam persembahan khas dijangka memberi dimensi baharu kepada Sambutan Hari Malaysia peringkat Negeri Sabah, pada 16 September ini bertempat di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC).
Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar (KePKAS) Sabah, Datuk Jafry Ariffin berkata, penyertaan golongan muda itu merupakan antara kelainan yang diketengahkan dalam pengisian sambutan tahun ini.
“Satu aspek pengisian yang rasanya kelainan pada tahun ini, kita libatkan bersama golongan muda dalam menjayakan program Sambutan Hari Malaysia tersebut.
“Kumpulan Suara Hari Malaysia yang terdiri daripada 300 orang pelajar daripada pelbagai institusi pengajian tinggi akan membuat satu persembahan dan sudah pasti memberikan satu dimensi tentang sambutan Hari Malaysia tersebut,” ujarnya semasa sidang media Sambutan Hari Malaysia Peringkat Negeri Sabah Tahun 2026, di sini, pada Isnin.
Menurut Jafry, penglibatan anak muda dalam sambutan berkenaan penting bagi memastikan Hari Malaysia tidak sekadar dilihat sebagai sambutan tahunan atau cuti umum tetapi paling penting ialah memastikan generasi muda memahami sejarah serta erti kemerdekaan dan pengisian kemerdekaan yang dinikmati negara pada masa ini.
“Yang penting bagi kita ialah bukan hari sambutan tahunan ataupun cuti tetapi penghayatan kepada generasi muda.
“Itu yang penting kita terapkan kepada generasi muda agar mereka memahami tentang sejarah, tentang erti pengisian kemerdekaan untuk kita bawa mereka bersama-sama.
“Golongan muda perlu diberikan ruang untuk bersama-sama menghayati dan meneruskan semangat kemerdekaan kerana mereka merupakan pewaris serta bakal memimpin negara pada masa depan,” tegasnya.
Dalam pada itu, Jafry berkata, sambutan berkenaan turut menampilkan pelbagai persembahan kebudayaan dan artis tempatan yang mengetengahkan kepelbagaian budaya di Sabah, dengan pengisian berkenaan dipimpin Lembaga Kebudayaan Negeri Sabah.
Jafry yang juga Pengerusi Jawatankuasa Penganjur Sambutan Hari Malaysia Sabah mengajak seluruh masyarakat untuk hadir memeriahkan sambutan itu yang dijangka menarik sekurang-kurangnya 3,000 pengunjung.
Sehubungan itu, orang ramai dijemput hadir seawal pukul 6 petang bagi bersama-sama memeriahkan acara berkenaan yang dijangkakan pada pukul 8 malam.
Turut hadir, Pembantu Menteri KePKAS Sabah, Dr Andi Md Shamsureezal Mohd Sainal; Setiausaha Tetap KePKAS Sabah, Datuk Josie Lai: Pengarah Jabatan Penerangan Sabah, Jainisah Mohd Noor dan Pengarah Penyiaran Sabah, Radio Televisyen Malaysia (RTM), Mohd Yusni Mohamed Ali.






