Industri kayu rekod RM9.4 bilion nilai eksport hingga Jun 2026

KUALA LUMPUR – Industri kayu terus menjadi penyumbang utama eksport negara dengan nilai RM9.4 bilion direkodkan bagi tempoh Januari hingga Jun 2026.

Purata nilai eksport tahunan industri ini pula melebihi RM20 bilion.

Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata, skop industri kayu negara kini berkembang melangkaui pengeluaran dan pemprosesan kayu asas.

“Industri ini turut merangkumi penghasilan perabot, pintu, lantai, komponen binaan, kemasan dalaman serta pelbagai produk gaya hidup,” katanya, seperti dilapor Bernama.

Beliau berkata demikian ketika berucap menutup Program ‘Road to Oud and Wood Artisan Expo’ (OWA) 2027 di sini, hari ini.

Noraini turut menyorot potensi komoditi gaharu daripada pokok karas yang kini menjadi tumpuan baharu.

Menurutnya, aroma unik gaharu menjadikannya bahan penting dalam penghasilan minyak pati, wangian dan produk premium.

“Pada masa ini lebih dua juta pokok karas ditanam di seluruh negara. Kita tidak mahu terus kekal sebagai pengeksport bahan mentah.

“Sasaran kita adalah bergerak daripada kayu kepada minyak pati dan wangian, seterusnya kepada jenama premium yang membawa nama Malaysia,” ujarnya.

Noraini menggesa industri gaharu disusun secara lebih sistematik bermula daripada penanaman, penghasilan resin, pemprosesan, hingga ke pemasaran.

Beliau berkata, peluang itu boleh diterokai menerusi penghasilan minyak gaharu, minyak wangi, produk penjagaan diri, kraf dan cenderamata yang mampu membuka ruang lebih luas kepada usahawan tempatan.

“Pembangunan industri ini perlu memberi manfaat menyeluruh kepada semua pihak dalam rantaian nilai, daripada penanam, penyuling, artisan, pengeluar produk hinggalah kepada pemilik jenama dan pengeksport,” katanya.

Tambah beliau, gabungan sumber semula jadi dengan kemahiran artisan, inovasi dan penjenamaan berpotensi menjadikan gaharu Malaysia sebagai identiti utama negara.

Mengulas lanjut, Program Road to OWA dianjurkan bagi mendekatkan industri gaharu, kayu dan kraf tempatan kepada masyarakat.

Program itu turut mengetengahkan produk agrikomoditi lain seperti sawit, getah, koko, lada dan kenaf.

“Ini bukan sekadar ruang pameran dan jualan, tetapi platform mempertemukan pengusaha, artisan dan usahawan dengan rakan industri serta pasaran,” katanya.

Related Posts

BRICS wadah perjuang sistem antarabangsa lebih adil – PM Anwar

KERALAM (INDIA) – Malaysia menyertai BRICS bukan untuk berdepan atau menentang mana-mana blok, sebaliknya mahu memainkan peranan dalam usaha membentuk sistem antarabangsa yang lebih adil dan demokratik. Perdana Menteri, Datuk…

Lebih lanjut

teruskan membaca
Malaysia-Keralam bincang peluang tingkat perdagangan, pelaburan

KERALAM – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Ketua Menteri Keralam, V D Satheesan hari ini membincangkan usaha memperkukuh kerjasama ekonomi serta memudah cara perdagangan dan pelaburan antara Malaysia…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Lembaga Pengampunan: Pas perlu faham peraturan, bukan keruhkan keadaan – PM Anwar

Lembaga Pengampunan: Pas perlu faham peraturan, bukan keruhkan keadaan – PM Anwar

Prosiding Lembaga Pengampunan sulit, tak wajar dipersoalkan – Tajuddin

Prosiding Lembaga Pengampunan sulit, tak wajar dipersoalkan – Tajuddin

PM Anwar tegas pilih kestabilan, bukan polemik politik

PM Anwar tegas pilih kestabilan, bukan polemik politik

BRICS wadah perjuang sistem antarabangsa lebih adil – PM Anwar

BRICS wadah perjuang sistem antarabangsa lebih adil – PM Anwar

Sambutan Hari Malaysia 2026: Fahmi jamin capaian internet optimum untuk media

Sambutan Hari Malaysia 2026: Fahmi jamin capaian internet optimum untuk media

Malaysia-Keralam bincang peluang tingkat perdagangan, pelaburan

Malaysia-Keralam bincang peluang tingkat perdagangan, pelaburan