KULIM – Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menyifatkan pendirian Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi untuk kekal bersama Kerajaan Perpaduan sehingga akhir penggal pentadbiran sebagai bukan perkara baharu.
Beliau berkata, ia kerana telah wujud perjanjian persefahaman antara parti-parti dalam pembentukan Kerajaan Perpaduan tersebut.
“Itu bukan benda baharu pada saya. Saya yang ikut membidani kelahiran Kerajaan Perpaduan ini seawal November 2022 sejurus selepas keputusan pilihan raya. Saya tahu bahawa secara dokumennya, kita telah memeterai satu persefahaman, perjanjian persefahaman bertulis untuk kita akan bekerjasama sehingga habis penggal.
“Jadi apabila Presiden UMNO menyebut dalam sidang medianya pada akhir penutup semalam bahawa dia akan berpegang kepada komitmen itu, itu bukan satu perkara baharu pada saya,” katanya pada sidang akhbar selepas melawat tapak Projek Membina dan Menyiapkan Jalan Kampung Badlishah/Ayer Putih di Junjong, di sini hari ini.
Beliau bagaimanapun menyambut baik dan mengalu-alukan keputusan itu dalam memastikan kestabilan politik terus terpelihara, sekali gus membolehkan kerajaan memberi tumpuan dalam menguruskan ekonomi dan memastikan rakyat mendapat manfaat.
“Jadi atas rasional bahawa kerajaan ini perlu dipertahankan dari sudut kestabilan politik supaya kita boleh tumpu untuk menguruskan ekonomi dan rakyat mendapat manfaat, saya fikir itu keputusan yang baik dan kita alu-alukan,” ujarnya.
Mengulas mengenai masih wujud kenyataan atau serangan antara parti dalam Kerajaan Perpaduan, beliau berkata, perkara itu merupakan lumrah dalam politik dan tidak semestinya menjejaskan kestabilan kerajaan.
“Masing-masing serang itu lumrah dalam politik. Saya setuju, saya sampaikan. Dia tak setuju, dia macam itu. Itu biasa, itu warna-warni politik. Yang paling penting ialah Presiden dia (UMNO) menyebut dengan jelas akan kekal seperti mana komitmen yang dimeterai dalam perjanjian bertulis seawal pembentukan Kerajaan Perpaduan itu.
“Kita pegang yang itu dulu. Adapun serangan-serangan biasa itu, saya tak anggap sebagai menjejaskan kestabilan,” tambahnya.
Media semalam melaporkan UMNO tidak akan menyanggah Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan kekal bersama Kerajaan Perpaduan sehingga akhir penggal pentadbiran.
Zahid berkata, pendirian itu selaras dengan resolusi yang telah dibuat pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) sebelum ini dan parti itu akan terus berada dalam Kerajaan Perpaduan biarpun terdapat perbezaan pandangan dalam kalangan pemimpin dan ahli parti.





