
KUANTAN – Kira-kira 10,000 belia berusia antara 13 hingga 30 tahun memeriahkan Fiesta Rakan Muda @ Pahang 2026 yang berlangsung selama tiga hari di Kompleks Belia dan Sukan (KOMBES) Pahang, bermula Jumaat lalu.
Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan Pahang, Datuk Fadzli Mohamad Kamal berkata, sebanyak 29 aktiviti diadakan sepanjang program berkenaan termasuk pertandingan e-sukan Mobile Legends dan Doodle Art.
Menurutnya, platform Rakan Muda memainkan peranan penting dalam membentuk sahsiah belia.
“Keberadaan saya di sini adalah untuk bersama golongan belia dan berkongsi hasrat Kerajaan Negeri Pahang serta Kerajaan Persekutuan dalam melahirkan generasi muda yang berakhlak mulia, berdisiplin, mempunyai jati diri tinggi dan mengamalkan gaya hidup sihat,” katanya, seperti dilapor RTM.
Beliau turut memaklumkan, pengisian Rakan Muda dapat meningkatkan kesedaran belia terhadap cabaran semasa meliputi aspek kehidupan, pendidikan, kewangan dan gaya hidup moden.
Dalam pada itu, Fadzli menjelaskan kerajaan negeri sentiasa memberi fokus kepada pembangunan belia menerusi pelbagai program di peringkat negeri dan daerah.
Sebelum ini, katanya, sebanyak RM600,000 diperuntukkan bagi penganjuran Festival Belia Negeri Pahang serta Anugerah Perdana Belia Negara dan Anugerah Khas Belia Kerajaan Negeri Pahang 2026 yang berlangsung Julai lalu.
“Peruntukan itu menunjukkan komitmen kerajaan negeri dalam memastikan pembangunan dan masa depan golongan muda terus diberi keutamaan,” ujarnya.




