PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mencuri perhatian pada majlis makan malam gala BRICS di New Delhi apabila secara spontan mendendangkan lagu klasik Bollywood, Khwab ho tum ya koi haqeeqat, nyanyian legenda India, Kishore Kumar.
Aksi santai itu berlangsung pada majlis makan malam gala yang dianjurkan Perdana Menteri India, Narendra Modi, di Bharat Mandapam, New Delhi.
Anwar kemudiannya berkongsi rakaman persembahan berkenaan menerusi platform X, sambil terlebih dahulu meminta izin untuk menyumbangkan suara buat seketika.
“Guru minta izin nyanyi kejap ok!” katanya menerusi hantaran video di Facebook (FB) Anwar, pada Ahad.
Video berkenaan turut mencuri tumpuan dan menerima reaksi positif ramai rakyat negara berkenaan serta persembahan spontan yang tular itu, menarik perhatian mereka yang menghargai pilihan lagu berkenaan.
“Ini sungguh menarik. Pilihan lagu yang sebegitu indah dan dinyanyikan sebegitu semangat. Sungguh menarik PM@anwaribrahim,” kata Piyush Morade.
“Apabila (ada) pemimpin dunia bertandang ke India dan mendendangkan lagu, ini seolah-olah menyaksikan dunia menyanyikan rentak India,” kata @roybiswajit2010 di platform Facebook.
Dalam suasana penuh kemeriahan itu, alunan lagu popular berkenaan menambah warna pada majlis yang menghimpunkan pemimpin serta delegasi negara anggota BRICS.
Persembahan spontan Anwar turut memperlihatkan sisi santai beliau di sebalik padatnya agenda diplomatik dan perbincangan peringkat tinggi sepanjang menghadiri acara berkenaan.
Khwab ho tum ya koi haqeeqat yang bermaksud ‘adakah kamu mimpi atau satu kenyataan’ merupakan antara lagu popular yang pernah didendangkan Kishore Kumar, antara nama besar dalam sejarah muzik Bollywood.
Kemunculan Anwar dengan lagu klasik berkenaan juga memberikan sentuhan budaya yang unik pada majlis berkenaan, sekali gus mencetuskan suasana lebih mesra dalam pertemuan pemimpin dunia.
Video persembahan itu mengabadikan detik santai yang berbeza daripada kebiasaannya sebagai pemimpin negara dalam acara rasmi antarabangsa.




