
KULAI – Polis terpaksa melepaskan satu das tembakan ke arah tayar sebuah Perodua Myvi selepas pemandunya bertindak agresif merempuh anggota Unit Rondaan Bermotosikal (URB) di Jalan Kenari, Bandar Putra, awal pagi semalam.
Ketua Polis Daerah Kulai, Asisten Komisioner Tan Seng Lee menerusi kenyataan rasmi memaklumkan kejadian berlaku pada jam 1.20 pagi sewaktu anggota URB menjalankan tindakan rondaan pencegahan jenayah di kawasan berkenaan.
”Pemeriksaan awal ke atas kenderaan hitam terbabit mendapati terdapat seorang lelaki dan wanita tempatan berusia 23 tahun sebelum pemandu bertindak melarikan diri dengan merempuh motosikal polis dan sebuah kenderaan Mazda CX-5.
”Insiden merempuh berkenaan mengakibatkan seorang anggota polis mengalami kecederaan di bahagian kaki akibat tersepit pada motosikalnya,” katanya.
Menurut Seng Lee, anggota bertindak melepaskan satu das tembakan pada bahagian tayar kenderaan bagi tujuan pertahanan diri dan menghentikan suspek.
“Tindakan pantas Bahagian Siasatan Jenayah IPD Kulai berjaya menahan kedua-dua suspek di lokasi berasingan di Bandar Putra dan Kluang dalam tempoh kurang 24 jam. Motif kejadian masih dalam siasatan,”
Polis turut merampas sebuah Perodua Myvi hitam serta alat kawalan jauh kenderaan. Kes disiasat mengikut Seksyen 307, Seksyen 332 dan Seksyen 186 Kanun Keseksaan.
Sumber: ikbm




